KUALA LUMPUR – Lori kontena, treler dan lori kecil direkodkan antara penyumbang tertinggi bagi kes kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sejak Januari sehingga September lalu.
Lebih membimbangkan kenderaan perdagangan ini turut mengakibatkan kemalangan sehingga melibatkan kematian pengguna jalan raya lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 168 kes kemalangan direkodkan melibatkan kenderaan perdagangan itu.
“Statistik menunjukkan daripada jumlah berkenaan, 97 kes melibatkan kemalangan maut, 32 kes parah manakala 39 kes lagi kecederaan ringan.
“Selain itu, statistik sama mencatatkan sebanyak 16 kes melibatkan kenderaan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, susulan itu pihaknya mengambil inisiatif dengan menguatkuasakan tindakan menerusi Op Perdagangan di negara ini.
“Rekod mencatatkan sebanyak 4,822 operasi dijalankan dengan 38,367 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain 177 buah kenderaan telah diambil tindakan sitaan.
“Antara kesalahan utama dikesan adalah membawa muatan berbahaya dan tidak kemas, tiada segi tiga dan bunga tayar, lampu signal serta brek tidak berfungsi,” katanya.
Menurutnya, lori kecil, treler dan lori kontena antara penyumbang tertinggi kemalangan setakat September lalu.
“Pengusaha serta majikan kenderaan perdagangan diminta melaksanakan tapisan terperinci di peringkat dalaman dengan memastikan tahap kesihatan pemandu berada pada tahap terbaik serta kesiapsiagaan dan kemahiran dalam pemanduan.
“Penyelenggaraan kenderaan berkala perlu dipatuhi dan dilaksanakan tanpa gagal selain mematuhi sepenuhnya pemeriksaan kenderaan bagi memastikan kenderaan layak berada di atas jalan raya,” katanya.
Tegas Mohd Yusri, pihaknya akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
“JSPT sama sekali tidak akan berkompromi dan bertindak tegas dalam penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.