IPOH – Keputusan sama ada mengekal atau menurunkan kadar cukai baharu yang dikenakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bergantung kepada bantahan yang dibuat oleh warga Ipoh.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kadar peratusan cukai dikenakan di Bandaraya Ipoh yang dianggap tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu 16.5 peratus telah diturunkan kepada sembilan peratus bagi kategori bangunan kediaman dan perniagaan.
Menurutnya, walaupun kadar sembilan peratus dianggap tinggi, namun MBI telah memberikan subsidi bagi mengimbangi kenaikan nilai tahunan yang tinggi.
“MBI berhasrat memanggil semua pemilik yang telah membuat bantahan berdasarkan Seksyen 142 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Sebarang keputusan untuk mengekal atau menurunkan cukai yang dikenakan adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Bantahan yang akan diadakan.
“Jawatankuasa mesyuarat boleh membuat pertimbangan jika pembantah menyediakan dokumen yang diperlukan iaitu dokumen sokongan yang relevan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rumaizi berkata, senario nilai sewaan pada masa kini adalah tinggi yang akan menyebabkan pengiraan nilai tahunan baharu juga meningkat.
Jelasnya, kenaikan berganda itu akan memberi impak kepada pembayar cukai menyebabkan pihak MBI memberikan subsidi.
Menurutnya, berdasarkan ekonomi semasa, MBI tidak bercadang untuk mengubah subsidi dalam waktu terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi menjelaskan MBI merupakan kerajaan peringkat ketiga yang menggerakkan jentera pentadbirannya melalui dana sendiri.
“Oleh yang demikian, MBI memerlukan kedudukan ekonomi kewangan yang kukuh dan stabil. Ini bagi memastikan setiap reformasi dasar dalam kerangka Ekonomi Madani, diadaptasi secara teratur tanpa menjejaskan tanggungjawab kepada rakyat.
“MBI telah merencanakan Bajet Defisit mulai 2021 bagi mengimbangi keperluan ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat. Rencana Bajet Defisit ini diteruskan sehinggalah ke tahun 2025. Ini menjadikan defisit bajet keseluruhan bagi tempoh lima tahun berjumlah RM50 juta,” katanya.
Menurutnya, MBI telah menyediakan peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan melebihi daripada anggaran hasil tahunan sejak tahun 2021 lagi dan lebihan perbelanjaan ditanggung rizab simpanan Majlis.
Sementara itu MBI memberi peluang kepada penduduk untuk mengemukakan bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran yang dijangka dilaksanakan bermula 2025.
Bantahan tersebut boleh dibuat dengan menghantar surat rasmi secara dalam talian di emel [email protected] atau secara fizikal di Jabatan Penilaian dan Hartanah sebelum 22 November ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.