Penjual kereta dituduh kes AMLA RM1.35 juta

Amier Amzar dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat, bagi menghadapi 10 pertuduhan kes AMLA mencecah RM1.35 juta berhubung pembelian kereta mewah, pada tujuh tahun lalu.

SHAH ALAM – Seorang penjual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas 10 pertuduhan kes pengubahan wang haram mencecah RM1.35 juta berkaitan pembelian tiga kereta mewah, pada 2017 lalu.

Amier Amzar Akbarudin, 34, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Muhammad Anas Mahadzir.

Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa memindahkan dan melupuskan wang RM1.24 juta serta cek bernilai RM110,000 hasil daripada aktiviti haram ke akaun bank miliknya dan kepunyaan tujuh individu berbeza berusia 32 hingga 67 tahun.

Bapa kepada dua anak tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank cawangan di Subang Jaya antara 4 Februari dan 6 April 2017 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam mahkamah sama, tertuduh juga didakwa atas satu tuduhan menipu dengan memperdayakan seorang lelaki berusia 44 tahun sebanyak RM1.45 juta, bagi pembelian tiga kenderaan import jenis Porsche 911, Lamborghini Aventador dan Audi di Bandar Sunway, di sini antara 7 Februari hingga 31 Mac 2017.

Kes ini dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Afendi dan Aida Khairuleen mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM40,000 bagi setiap pertuduhan kes AMLATFPUAA.

“Sementara ikat jamin bagi kes menipu sebanyak RM50,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, S Sathya merayu anak guamnya dikenakan ikat jamin pada kadar minimum kerana Amier Amzar perlu menanggung isteri dan dua anak, berusia sebulan hingga tiga tahun.

“Dia turut menyara ibu bapanya namun akaun bank mereka telah dibekukan.

“Pasport anak guam juga telah luput Februari lalu dan tiada risiko melarikan diri, jadi kami tidak membantah sekiranya dia dikenakan syarat tambahan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhammad Anas membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM225,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

“Tertuduh juga perlu memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan termasuk tidak boleh mengganggu saksi,” katanya yang menetapkan sebutan semula kes pada 14 Januari 2025.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply