Pas tuntut penjelasan isu jual tanah Gebeng kepada syarikat China

Andansura

KUANTAN – Pembangkang mendesak Kerajaan Pahang dan Pasdec Holdings Berhad (Pasdec) untuk membuat pendedahan secara terperinci mengenai transaksi penjualan tanah di Gebeng kepada sebuah syarikat China.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Andansura Rabu berkata, pendedahan perlu dibuat bagi menjawab pertanyaan rakyat yang ingin mengetahui status pemilikan tanah tersebut.

“Kita ingin penjelasan adakah tanah yang dijual tersebut memberikan hak milik kekal kepada syarikat tersebut atau sekadar hak milik sementara.

“Jika ia hanyalah hak sementara, rakyat ingin mengetahui tempoh pemilikan tersebut bagi memastikan ketelusan dalam urusan yang melibatkan kepentingan rakyat,” katanya pada Jumaat.

Pada Rabu, Pasdec menandatangani perjanjian dengan Petroluxe Refinery (M) Sdn Bhd (Petroluxe) untuk menjual tanah perindustrian seluas 24 hektar di Harbour Park, Gebeng, bagi membangunkan loji penapis minyak.

Petroluxe yang dimiliki oleh pelabur dari China itu merancang untuk melabur kira-kira RM3 bilion untuk membina kompleks penapisan dan kemudahan petrokimia bersepadu di situ.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah itu turut meminta pihak kerajaan atau Pasdec supaya menjelaskan langkah yang akan diambil, jika syarikat terbabit gagal membangunkan projek seperti dijanjikan mengikut tempoh ditetapkan.

Tegasnya, ini bagi memastikan tanah tersebut tidak terus kekal dalam milikan syarikat luar, seandainya projek yang dirancang tidak direalisasikan.

“Adakah terdapat syarat atau sekatan agar tanah tersebut tidak boleh dijual semula kepada pihak ketiga? Apa yang dibimbangi nanti, kalau pelaburan dijanjikan itu tidak berlaku, tanah kita telah terjual.

“Akhirnya syarikat (luar) dapat keuntungan apabila mereka mungkin menjual pula (tanah itu) kepada pihak ketiga dan sebagainya. Maka untuk mengelak perkara itu berlaku, adakah terma perjanjian tersebut dinyatakan, (bahawa) tindakan boleh diambil oleh Pasdec atau kerajaan negeri,” soal beliau lagi.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengaruh Pasdec yang kini dimiliki 70 peratus oleh pihak swasta, selepas Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) menjual sebahagian pegangannya.

Andansura menjelaskan, perkara terbabit pernah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2017 atau 2018, apabila PKNP mengurangkan pegangannya dalam Pasdec sehingga tinggal hanya 30 peratus.

“Persoalan timbul mengenai tanah milik PKNP atau ‘land bank’ sama ada akan dipindahkan kepada Pasdec yang kini majoritinya dimiliki pihak swasta, dan kini ia sudah berlaku.

“Ini menimbulkan kebimbangan bahawa tanah milik kerajaan yang lain mungkin turut berpindah milik,” katanya.

Sehubungan itu, Andansura berhadap agar Kerajaan Pahang dapat mengambil langkah pemantauan dan pengawalan dalam urusan pemilikan tanah strategik.

Ujarnya, ini bagi mengelak sebarang pemindahan milik yang boleh menjejaskan kepentingan tanah negeri.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply