Syarikat import telur gagal saman Azmin Ali

Laporan Sinar Harian pada 14 April tahun lalu mengenai sebuah syarikat pengimport telur failkan saman terhadap Azmin.

KUALA LUMPUR – Syarikat J&E Advance Tech Sdn Bhd gagal dalam samannya terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat berhubung kontrak mengimport telur dari India.

Hakim, Leong Wai Hong menolak saman berkenaan selepas mendapati syarikat pengimport telur itu gagal membuktikan semua elemen fitnah yang didakwa bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Justeru, mahkamah memerintahkan J&E Advance Tech membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Mohamed Azmin selaku defendan.

J&E Advance Tech memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin pada 12 April 2023 kerana beliau mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India.

Syarikat itu mendakwa defendan (Mohamed Azmin) telah membuat dan menerbitkan satu ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam ‘Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman’ di Taman Melewar di sini pada 11 Mac lepas dan kenyataannya itu telah diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik, termasuk YouTube.

Menurut J&E Advance, walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan dalam ucapan memfitnah tersebut, namun ucapan berkenaan jelas merujuk kepada plaintif, kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang Parlimen pada 8 Mac tahun sama.

Menurut syarikat itu, kenyataan tersebut tidak benar dan melampau serta mendakwa syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus dengan Kerajaan Malaysia.

AKAN MENYUSUL


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply