KAMUS Dewan Edisi Keempat mentakrifkan integriti sebagai kejujuran, ketelusan, kesempurnaan dan keutuhan.
Ia bermaksud integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi dan boleh dipercayai percakapannya.
Begitulah mukadimah yang dimulakan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman ketika menyampaikan khutbah bertajuk ‘Integriti teras keharmonian negara’ disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Jumaat lalu.
Menurut beliau, integriti merupakan sebahagian daripada nilai penting dan berperanan besar dalam membina tingkah laku dan sahsiah manusia untuk membentuk kesempurnaan dalam diri.
“Nilai yang baik iaitu sifat mahmudah, menampilkan norma dan piawaian tingkah laku yang terbaik dalam kehidupan seseorang manusia itu.
“Nilai integriti bukan sahaja mengubah landskap dan ekosistem kehidupan dalam kalangan anggota masyarakat, bahkan akan membantu sesebuah negara dalam mencapai matlamat serta kejayaan yang telah dirangka agar Malaysia dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuah,” hurainya.
Rasulullah SAW contoh terbaik insan berintegriti
Bahkan katanya, Rasulullah SAW merupakan contoh teladan yang terbaik dan sangat berintegriti sehingga Baginda digelar dengan al-Amin yang bermaksud sangat dipercayai.
“Empat keperibadian dan sifat terpuji Rasulullah SAW telah menjadi teras kepada integriti iaitu as-siddiq (benar) amanah (jujur), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).
“ALLAH SWT berfirman dalam ayat ke-21 surah al-Ahzab: ‘Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan ALLAH) dan (balasan baik) di hari akhirat. Serta dia pula menyebut dan mengingati ALLAH dengan banyaknya sama ada dalam masa susah mahupun dalam masa senang’,” jelasnya.
Hurainya lagi, ayat ini menganjurkan umat Islam untuk mencontohi Rasulullah SAW dalam semua perkara khususnya sifat amanah dan jujur.
Ujarnya, tanpa integriti seperti seseorang yang tidak beramanah, tidak berlaku jujur serta sentiasa bergelumang dengan sifat-sifat yang keji dan mazmumah, maka sudah tentu akan menjejaskan kedudukannya di sisi ALLAH SWT, malah ditimpa kecelakaan dan kebinasaan di dunia serta akhirat.
“Manfaat atau kelebihan integriti bukan sahaja dapat diraih oleh individu Muslim itu, bahkan ia juga dapat dimanfaatkan oleh ahli keluarga, masyarakat dan juga negara.
“Ini kerana kehidupan akan menjadi lebih harmoni apabila masyarakatnya berintegriti dengan sentiasa bersikap jujur dalam percakapan dan kepercayaan yang diberikan,” katanya.
Hentikan perbuatan tidak berintegriti di media sosial
Meneruskan khutbah, Dr Mohd Sukki berkata, Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk kadangkala diuji dengan pelbagai isu yang boleh menjejaskan perpaduan akibat daripada perbuatan pihak-pihak yang tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab yang suka menyuntik jarum-jarum perbalahan dan permusuhan terutamanya di media sosial.
“Ingatlah bahawa kesejahteraan dan kemakmuran negara adalah amanah daripada ALLAH SWT yang wajib dipelihara. Kita juga seringkali didedahkan dengan pelbagai kepincangan dalam masyarakat yang melibatkan keruntuhan nilai integriti.
“Sedarlah bahawa manusia yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam kemungkaran seperti perbuatan rasuah, khianat, penipuan dan pecah amanah.
“Dan ia pastinya boleh meruntuhkan organisasi, institusi masyarakat dan negara, bahkan menyebabkan seseorang itu akan dihumban ke dalam api neraka,” hurainya lagi.
Mufti Pulau Pinang itu turut menegur sesetengah daripada umat Islam yang tidak menggunakan lisan atau tulisan dengan baik apabila mengungkapkan perkataan-perkataan yang mungkar di media sosial.
“Pelbagai kata-kata dan tulisan yang begitu biadab disajikan di media sosial yang bercanggah dengan apa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW dan jauh daripada integriti.
“Ingatlah umat Islam akan sabda Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia bercakap baik ataupun dia diam,” ujarnya.
Bagaimanapun apa yang menyedihkan katanya, sesetengah umat Islam bercakap benda yang mungkar, saling keji-mengeji antara satu sama lain, saling berbalah berkaitan dengan sesuatu isu namun perbalahannya panjang.
“Bukan sekadar berbalah biasa, tetapi menggunakan kata-kata yang kesat dan keji seolah-olah umat Islam yang lain itu bukan saudaranya, tetapi musuhnya.
“Dan akhirnya tanpa segan silu mengeluarkan perkataan yang boleh mengguris hati dan perasaan saudara se-Islamnya. Apakah ini dinamakan orang yang beriman?” soalnya.
Oleh itu beliau menasihati semua umat Islam agar mengamalkan ajaran Islam yang sempurna, meningkatkan iman dan membentuk sifat ihsan di dalam diri untuk membina nilai integriti yang tinggi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.