NFDP A kekal rentak kemenangan

Aksi pemain NFDP A ketika menentang Pattaya United.

SKUAD NFDP A meneruskan rentak kemenangan dalam kategori bawah 12 tahun (B-12) Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 selepas menewaskan kelab dari Thailand, Pattaya United, 3-0 pada aksi di Padang A, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil pada Jumaat.

Dua gol jaringan Badrul Hazim Hazimi dan Putra Rayyan Zaftran pada separuh masa kedua berjaya memastikan skuad kendalian Abdul Ghani Malik meraih tiga mata penuh.

Sebelum ini, Skuad NFDP A turut cemerlang menumpaskan Singapore FA dengan kemenangan bergaya, 5-2 pada perlawanan pertama.

Menurut Abdul Ghani, kemenangan tersebut memberikan motivasi penuh untuk pasukan memburu tiga mata berdepan kelab dari Indonesia, Asiop Academy, pada Sabtu.

“Syukur Alhamdulillah apa yang dirancang berjaya diterjemahkan barisan pemain dengan usaha yang berterusan sehingga gol berjaya dihasilkan.

“Saya selalu ingatkan pemain agar jangan mudah putus asa dan teruskan mencuba sehingga menjadi kenyataan, akhirnya tiga gol berjaya dijaringkan pada separuh masa kedua,” katanya.

Beliau berkata, sasaran kelabnya ketika ini adalah untuk meraih kemenangan hatrik berdepan Asiop Academy.

“Mengatasi Pattaya United menaikkan motivasi buat pemain dan memberi peluang buat saya menurunkan pemain-pemain yang belum beraksi untuk melihat serta menilai kemampuan mereka.

“Sebenarnya kesemua pemain kita mampu menggalas tugas yang diberikan,” katanya.

Sementara itu bagi Ketua jurulatih Pattaya United, Chokchai Tespan mengakui NFDP A memberikan tekanan hebat kepada pasukannya sehingga gagal memberikan aksi terbaik.

“Pemain saya agak tertekan dengan corak pemain lawan (NFDP A) dan dapat dilihat gagal menembusi bahagian tengah menyebab kami banyak bertahan.

“Kualiti permainan lawan hari ini sangat berbeza berbanding semalam apabila menewaskan Asiop Academy (2-1), ini kami perlu akui memandangan NFDP A adalah pasukan terbaik,” ujarnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply