Penyanyi terkenal, Misha Omar, bakal mengadakan konsert solo terbaharunya yang dinamakan MISHA OMAR BACK TO BASIC SHOWCASE pada 21 Disember 2024.
Konsert ini akan berlangsung di Odeum at Jiospace, Petaling Jaya, bermula jam 8.30 malam. Ini merupakan konsert solo pertama Misha selepas kali terakhir mengadakan persembahan di Istana Budaya pada tahun 2021.
Berbeza dengan konsert besar sebelumnya, penyanyi lagu popular Sampai Bila itu memilih untuk mengadakan persembahan kali ini dalam skala lebih kecil tetapi lebih bermakna buat para peminatnya. Ini juga adalah cara Misha menghargai peminat yang telah menyokongnya sepanjang dua dekad dalam industri muzik.
Menurut Misha, walaupun konsert ini kecil, ia adalah langkah pertama menuju impian untuk mengadakan konsert yang lebih besar pada masa depan.
“Sebagai penghibur yang sudah dua dekad berada dalam industri, saya memang ada impian untuk mengadakan konsert besar.
“Tapi, saya lebih suka bermula dengan langkah kecil sebelum menuju ke sesuatu yang lebih besar,” katanya.
Konsert yang dianjurkan oleh Double M Productions ini dijangka berlangsung selama 90 minit dengan muzik yang disertai oleh pemuzik-pemuzik berprofil tinggi. Misha akan dibantu oleh Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal dan Ayop Azril sebagai pengarah muzik bersama sembilan pemuzik. Selain itu, Jennifer Thompson akan bertindak sebagai pengarah konsert dan Simon Khoo sebagai pengarah teknikal.
Selain itu, Misha juga menjelaskan bahawa nama Back to Basic dipilih kerana ia merujuk kepada perjalanan awal kerjayanya sebagai penyanyi.
“Konsert ini membawa saya kembali ke saat-saat awal saya sebagai penyanyi, ketika pertama kali menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman pada tahun 2002,” tambah Misha.
Bagi para peminat yang sudah lama menantikan Misha kembali ke pentas, konsert ini pastinya satu peluang yang tidak boleh dilepaskan. Misha menjanjikan kejutan menarik untuk semua yang hadir pada malam tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: NIDJI Tetap Teruskan Perjuangan Muzik Meskipun Tanpa Giring, Mahu Fokus Konsert Solo Februari Ini!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.