Disiplin tinggi bukan sahaja membolehkan Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri bergelar pemain bola sepak juga graduan sempena Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berlangsung baru-baru ini.
Penjaga gol kelab Liga Super, Pahang FC yang kini berusia 25 tahun itu berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.
Azfar menyifatkan karier sebagai pemain skuad Tok Gajah yang disertai pada 2024 bukanlah penghalang untuk menuntut ilmu sama seperti penuntut lain sebaliknya ia mendidik diri dalam aspek pengurusan masa.
“Status sebagai pemain dan penuntut sebenar secara tidak langsung memerlukan menghadiri kelas secara atas talian akibat kekangan masa dan sebagainya. Namun itu bukan alasan untuk saya mengambil sikap sambil lewa”
“Saya tetap berusaha mengikuti perkembangan pembelajaran dengan sentiasa menghubungi pensyarah dan kerap bertanya soalan kepada rakan-rakan supaya tidak ketinggalan,” katanya.
Menurut Azfar, beliau menyertai Penang FC dan tinggal di Pulau Pinang pada tahun 2023 menyebabkan tidak dapat hadir ke kelas yang terletak di UiTM Shah Alam. Namun, itu bukan alasan dan Azfar cuba mencari inisiatif lain dengan berhubung dengan pensyarah dan belajar sendiri selain menyertai kelas menerusi Zoom dan Google Meet.
Ditanya mengenai cabaran sebagai pemain dan penuntut, pemain kelahiran Terengganu itu berkata, elemen putus asa tidak ada dalam dirinya walaupun sibuk mengikuti latihan dan juga kuliah.
“Semuanya tidak mustahil kerana paling penting adalah bagaimana seseorang itu mengimbangkan diri apabila berstatus atlet dan juga pelajar. Saya pernah rasa nak give up sebab apabila masuk kelas sebab rasa macam zero knowledge. Tapi Alhamdulillah ada kawan-kawan dan supervisor yang selalu bantu saya untuk catch up,” ujarnya.
Azfar juga turut berterima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakannya yang sering membantu dan menasihati anak muda di luar sana agar tidak mudah berputus asa dan sentiasa mencari bantuan bila diperlukan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.