Terengganu diramal dilanda banjir bermula Isnin

PRABN mengeluarkan ramalan awal banjir yang dijangka berlaku di pesisiran pantai Kelantan, Pahang dan Johor (Timur) serta keseluruhan negeri Terengganu bermula 18 hingga 21 November ini – Gambar hiasan (Gambar kecil: Hanafiah)

KUALA TERENGGANU – Beberapa kawasan di Terengganu diramal dilanda banjir sekiranya berlaku hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang besar bermula Isnin ini.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, situasi itu dijangka akan menjejaskan tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Menurutnya, penduduk di kawasan pesisir pantai serta di kawasan berisiko dinaiki air diminta agar lebih berwaspada terhadap sebarang perubahan cuaca dan peningkatan paras air sungai di tempat masing-masing.

“Ramalan ini bergantung kepada cuaca hujan dan air pasang, jika berlaku hujan lebat bersama air pasang pada 18 November (Isnin) itu, kemungkinan besar akan berlaku banjir di Terengganu.

“Setakat ini tiga daerah menjadi tumpuan iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, jadi penduduk terutama yang tinggal di kawasan pesisir pantai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, Hanafiah berkata, perkembangan itu hanya sekadar ramalan kerana kemungkinan besar bencana banjir akan mula melanda kawasan lain di negeri itu.

“Apapun ia hanya ramalan, mungkin ia (banjir) akan pergi ke Permaisuri di Setiu dahulu atau ke kawasan-kawasan yang kita tidak jangka.

“Walaupun begitu, semua pusat pemindahan sementara (PPS) dan setiap agensi telah bersiap siaga untuk menghadapi bencana banjir, bekalan makanan juga telah pun dihantar dan berada di setiap pangkalan hadapan,”jelas beliau.

Menurut Hanafiah, Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula November hingga Mac tahun depan dijangka menyebabkan berlaku tujuh gelombang banjir di negeri itu.

“Persiapan rapi amat diperlukan untuk menghadapi MTL kali ini dan kita juga menyarankan supaya penduduk setempat supaya mengadakan sembahyang hajat agar tidak berlaku bencana banjir besar.

“Penduduk kampung di kawasan berisiko diminta turut membuat persiapan untuk berpindah sekiranya kawasan itu berisiko dinaiki air

“Mereka juga perlu segera berpindah ke kawasan selamat sekiranya diminta untuk berbuat demikian oleh pihak berkuasa,”ujarnya.

Pada Khamis, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir yang dijangka berlaku di pesisiran pantai Kelantan, Pahang dan Johor (Timur) serta keseluruhan negeri Terengganu bermula 18 November hingga 21 November ini.

Orang ramai diminta merujuk portal Public Infobanjir https://publicinfobanjir.water.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat ramalan banjir serta status aras air sungai terkini.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply