SHAH ALAM – Baru-baru ini tular rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menjaga ibunya yang terlantar sakit di sebuah hospital di Pantai Timur.
Suri rumah, Norasni Mohd Noor, 39, berkata, dia memuat naik rakaman di laman sosial, TikTok untuk orang ramai menjadikan kisah itu sebagai pengajaran untuk terus berbakti kepada ibu bapa.
Menurutnya, menjaga orang yang sakit bukan satu tanggungjawab mudah, namun kanak-kanak berkenaan berjaya menggalasnya dengan baik.
“Saya begitu tertarik dengan Iman (kanak-kanak menjaga ibu yang sakit). Dia begitu matang berbanding usia, tidak seperti kanak-kanak sebaya usianya.
“Iman lakukan semua perkara daripada menukar lampin, lap badan, suap makanan dan sebagainya,” kata Norasni kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut wanita itu, Iman merupakan seorang kanak-kanak yang berbudi bahasa dan hormat dengan orang tua.
Kata Norasni, Iman tidak pernah mengeluh sepanjang menjaga ibunya dan sentiasa peka akan kehendak ibunya.
“Ada satu ketika, cuaca begitu panas sehinggakan kami yang berada dalam wad turut berpeluh. Waktu itu, Iman terus membasahkan kain dan lap pada tubuh ibunya.
“Iman memang mengutamakan ibu dalam apa jua keadaan. Sepanjang lima hari di hospital ini, dia makan dan tidur di atas lantai. Dia tak pernah mengeluh,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia mengetahui latar belakang keluarga kecil itu atau tidak, Norasni berkata, Iman hanya dibesarkan oleh ibunya sendirian.
“Iman anak tunggal dan ibunya juga seorang ibu tunggal. Mereka hanya hidup berdua.
“Bagaimanapun, saya tengok ada juga saudara-mara yang datang untuk melawat ibu Iman. Alhamdulillah masih ada yang peduli,” jelasnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.