UMUM mengetahui setiap restoran atau kedai makan akan mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan yang hadir makan di dalam premis.
Bagaimanapun, ada juga restoran yang mengenakan caj tambahan lain, selain caj perkhidmatan sehingga mencetuskan perdebatan orang ramai.
Ini kerana tindakan segelintir restoran dan kafe yang mengenakan caj tambahan tersebut dianggap membebankan, malah kemungkinan besar akan menjadi ikutan pula kepada restoran-restoran lain terutama restoran makanan segera atau restoran yang beroperasi 24 jam untuk mengenakan caj sama pada masa akan datang.
Ia susulan baru-baru ini tular di media sosial sebuah restoran terkenal di Kampung Baru, Kuala Lumpur mengenakan caj RM1 kepada pelanggan yang menggunakan bilik berhawa dingin.
Bagaimanapun, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) tampil menjelaskan bahawa hasil pemeriksaan mendapati restoran tersebut tidak melakukan sebarang kesalahan.
Malah menurutnya, pemeriksaan juga mendapati harga makanan, minuman dan caj tambahan tersebut mematuhi dasar harga terangkum di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Pemerhatian anggota penguat kuasa turut mendapati notis caj RM1 itu dipamerkan dengan jelas di kawasan pintu masuk dan di cermin bilik berhawa dingin yang mudah dilihat oleh pelanggan.
Katanya, tindakan tersebut dianggap tidak salah kerana pelanggan diberi pilihan untuk menikmati makanan di kawasan yang tiada pendingin hawa tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Tindakan tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang segelintir masyarakat. Mereka mendakwa, alasan ‘tidak menjadi kesalahan’ untuk mengenakan caj tambahan tersebut pasti akan digunakan oleh golongan peniaga restoran bagi mewajarkan tindakan itu.
Malah, mereka turut membandingkan restoran-restoran yang memiliki jumlah pengunjung ramai yang tidak pernah mengenakan sebarang caj.
Difahamkan sudah banyak restoran terutama di kawasan tumpuan pelancong yang mengenakan caj tambahan tersebut.
Selain isu caj tambahan di restoran, terdapat juga isu lain yang menjadi kebimbangan orang ramai ketika ini iaitu restoran India Muslim atau mamak dijangka menaikkan harga makanan di premis mereka bermula tahun depan.
Kenaikan harga makanan tersebut dikatakan berikutan peningkatan kos operasi disebabkan kenaikan berterusan harga bahan-bahan mentah.
Memang tidak dinafikan faktor tersebut, namun ia bukan alasan untuk golongan peniaga menaikkan harga makanan yang dijual hampir setiap tahun.
Pengusaha restoran sebelum ini dilaporkan sudah menaikkan harga makanan awal tahun ini atas alasan kos operasi terutama bahan mentah yang naik.
Satu lagi alasan yang digunakan adalah susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bermula Februari depan.
Justeru, sebagai pengguna, kita perlu menjadi pengguna yang bijak. Kita mempunyai pilihan untuk tidak makan di restoran yang mengenakan caj tambahan.
Gunakan kuasa dan hak sebagai pengguna dengan beralih kepada restoran dan premis makanan yang masih meletakkan harga munasabah serta berpatutan untuk menjamu selera dan membeli makanan atau boikot sahaja restoran yang menawarkan harga makanan mahal.
Atau lebih baik terutama bagi yang berkeluarga, makan sahaja di rumah kerana kos memasak di rumah jauh lebih menjimatkan berbanding makan di luar. Selain itu, kebersihan makanan juga terjamin dan hati juga rasa tenang kerana tak perlu memikirkan pelbagai caj jika makan di luar.
*Nurfardlina Izzati Moktar ialah wartawan Sinar Harian Terengganu
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.