Malaysia merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Laos dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium PAT, Bangkok, Thailand sebentar tadi.
Malaysia memasuki perlawanan yang berlangsung di gelanggang neutral itu dengan kelebihan daripada segi rekod pertemuan, kali terakhir mereka melakar kemenangan 5-0 ke atas Laos.
Dan ia terbukti apabila Malaysia membuka jaringan seawal minit kelima menerusi tandukan Harith Haiqal Adam Afkar yang melengkapkan hantaran Nooa Laine.
Bagaimanapun, Malaysia terpaksa akur dengan kesilapan yang terhasil membuka ruang buat Kydavone Souvanny menyamakan kedudukan buat Laos.
Separuh masa kedua Malaysia lebih tenang mengawal permainan, ditambah cuaca yang semakin baik membantu melancarkan corak permainan skuad negara.
Deretan peluang demi peluang dihasilkan Malaysia untuk mendapatkan gol kedua, yang akhirnya terhasil menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Stuart Wilkin pada minit ke-64.
Gol tersebut ternyata memberikan keyakinan dalam corak permainan pasukan bimbingan Pau Marti apabila Laos seperti sukar untuk mencipta gerakan.
Malaysia hampir dibolosi buat kali kedua apabila hantaran jauh Laos gagal dibaca Syihan namun penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berjaya menafikan peluang pasukan lawan.
Gol ketiga skuad negara terhasil sekali lagi menerusi sepakan penalti yang diledak oleh Sergio Aguero pada minit ke-82 sekaligus memastikan Malaysia mengekalkan rekod cemerlang ke atas Laos.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.