Siri Perlumbaan MotoGP Bertukar ‘Tangan’

Dalam gerak langkah yang mengejutkan, Liberty Media, sebuah badan konglomerat media Amerika Syarikat yang juga pemilik Formula One (F1), telah mengambil langkah besar dengan membeli siri perlumbaan motosikal terkenal, MotoGP.

Liberty Media telah menjadi pemilik F1 sejak tahun 2017 dan kini mereka telah melangkah lebih jauh dengan membeli MotoGP daripada syarikat Sepanyol, Dorna Sports, dengan nilai sebanyak £3.6 bilion.

Perjanjian megah ini akan menyaksikan Liberty Media memegang kira-kira 86 peratus saham Dorna, sementara pengurusan Dorna tetap kekal sebagai pemegang perniagaan utama.

Kredit: Adventure Rider

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Liberty Media, Greg Maffei, perjanjian ini menunjukkan keghairahan mereka dalam mengembangkan portfolio sukan secara langsung.

Beliau menyebut bahawa MotoGP bukan sekadar siri perlumbaan, tetapi sebuah liga global yang mempunyai peminat yang setia dan perlumbaan yang memukau, serta profil kewangan yang amat menarik.

“Perniagaan ini mempunyai peningkatan yang ketara, dan kami berhasrat untuk mengembangkan sukan ini untuk peminat MotoGP, pasukan, rakan kongsi komersial, dan pemegang saham kami,” jelasnya.

Kredit: Bikes Republic

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta, turut menganggap perjanjian ini sebagai langkah yang positif. Beliau menyatakan bahawa Liberty Media mempunyai rekod prestasi yang luar biasa dalam membangunkan aset sukan, dan transaksi ini adalah bukti nilai sukan MotoGP pada masa kini dan potensi pertumbuhannya pada masa depan.

MotoGP, sejak musim pertamanya pada tahun 1949 hanya bertanding sebanyak enam pusingan perlumbaan, kini telah berkembang menjadi kempen 20 grand prix yang meliputi lima benua. Ini membuktikan daya tarikan yang kuat serta populariti yang terus meningkat dari segi pengikut dan peminat sukan ini.

Dengan pengambilan alih ini, peminat MotoGP boleh menjangkakan inovasi dan pertumbuhan yang lebih pesat dalam industri perlumbaan motosikal global. Ini pastinya merupakan permulaan suatu era baru dalam dunia perlumbaan, yang bakal memberikan pengalaman dan hiburan yang lebih mendalam kepada peminat sukan permotoran di seluruh dunia.

Baca: Bagnaia Pertahan Podium Di Lusail Pada Pembukaan MotoGP 2024

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Comments

Leave a Reply