Dakwaan skandal rasuah ADUN Sabah: Kaitkan Hajiji adalah fitnah – NGO

Zulkarnain (dua dari kanan) menunjukkan laporan yang dibuat beliau di Balai Polis Sri Petaling, pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Tuduhan mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dengan skandal dakwaan perlakuan rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu adalah fitnah.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, beliau secara peribadi amat mengenali Hajiji biar pun tidak terlibat dengan mana-mana ahli parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, tuduhan yang menyatakan Hajiji menekan bekas seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) berkaitan projek kepada kontraktor pilihan adalah diyakini merupakan fitnah jelik dan jahat.

“Apa bukti dakwaan itu? Ia sekadar tuduhan.

“Saya harap polis siasat dan panggil bekas CEO ini kerana itu tuduhan cukup melampau dan jelik kepada Hajiji,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling di sini pada Khamis.

Zulkarnain berkata, beliau amat yakin Hajiji tidak mempunyai kaitan dengan isu terbabit.

Jelasnya, laporan ini bagi membersihkan nama Hajiji dan berharap agar polis dapat bertegas dengan isu terbabit.

“Panggil dia (bekas CEO) itu dan minta bukti apa yang dia ada. Saya harap supaya kes ini dapat diselesaikan dengan cepat bagi merungkainya.

“Esok saya juga akan buat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya untuk hantar dokumen berkaitan isu ini,” ujarnya.

Pada Selasa, Hajiji menggesa supaya pemberi rasuah turut disiasat berhubung dakwaan skandal rasuah membabitkan ADUN di Sabah.

Kata Hajiji, siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa juga perlu menjurus kepada pemberi rasuah kerana sudah tentu pihak tersebut mempunyai niat yang tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.

Selain itu, Sinar Harian turut melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung kes ugutan bunuh terhadap pemberi maklumat skandal rasuah membabitkan sebuah negeri susulan ancaman yang diterima mangsa melalui panggilan aplikasi WhatsApp.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply