PUTRAJAYA – Tindakan sindiket menyeleweng minyak masak peket bersubsidi dan dijual sebagai minyak masak terpakai pada harga lebih tinggi berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya, Datuk Armizan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam sehingga membawa kepada tangkapan 15 orang termasuk empat lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan, di Selangor pada Selasa lalu.
Jelas beliau, minyak masak tersebut dibeli secara pukal dengan harga subsidi RM2.50 sepeket dan dijual kepada industri pada harga RM3.80 sekilogram.
“Kami percaya sindiket ini mengaut keuntungan sehingga RM20,000 sehari,” katanya menerusi sidang akhbar khas Ops Tiris 3.0 di sini pada Khamis.
Ujar Armizan, berdasarkan pelbagai jenama minyak masak yang ditemui, pihaknya percaya sindiket minyak masak subsidi secara pukal dengan beberapa syarikat pembungkus minyak masak sekitar Lembah Klang.
“Kita akan menyiasat segenap segi termasuk kemungkinan penglibatan syarikat pembungkusan minyak masak dan mereka perlu jawab kerana minyak masak keluaran syarikatnya ditemui di lokasi serbuan,” jelasnya.
Menurutnya, bungkusan minyak masak subsidi itu dipotong di sebuah rumah di Taman Kajang Jaya untuk dikumpulkan di dalam tong simpanan.
“Ia kemudiannya di bawa ke premis perniagaan di Bandar Rinching, Semenyih untuk dijual sebagai minyak masak terpakai,” ujar beliau.
Jelas Armizan, hasil serbuan yang dilakukan telah menemukan anggaran sejumlah 14,340 kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dalam keadaan telah dipotong bungkusan dan dikumpulkan di dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC).
“Pasukan serbuan telah bertindak menyita kesemua minyak masak terbabit termasuk peralatan yang digunakan tiga buah lori, sebuah kereta dan beberapa dokumen perniagaan berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM429,850.
“Kesemua tahanan berada dalam tempoh reman selama empat hari sehingga Sabtu ini,” ujarnya.
Katanya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti mana-mana individu dan syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak terbabit.
“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613], iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan memberi amaran pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan dan pembatalan lesen ke atas mana-mana individu atau syarikat sekiranya didapati melakukan kesalahan sehingga menyebabkan ketirisan bekalan minyak masak tersebut.
“Ada syarikat yang didapati bersalah sebelum ini telah dikenakan tindakan ini termasuk kuota pembungkusan dikurangkan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.