Aplikasi Jodoh Darul Iman hanya untuk golongan bujang

Maliaman

KUALA TERENGGANU – Aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’ yang akan dilancarkan di Terengganu tidak lama lagi hanya boleh digunakan oleh golongan bujang yang ingin mencari pasangan hidup.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, ia antara syarat ditetapkan bagi mengelak aplikasi tersebut disalahgunakan oleh golongan tertentu.

Menurutnya, aplikasi yang dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bertujuan memastikan proses pencarian jodoh dalam kalangan penduduk Terengganu berjalan selari dengan ajaran Islam.

“Pengguna aplikasi ini perlu memanfaatkan kemudahan yang ada untuk perkahwinan kali pertama dan bukan bagi tujuan berpoligami.

“Antara syarat untuk mereka yang akan pengguna aplikasi itu ialah golongan bujang atau ibu dan bapa tunggal yang berhasrat untuk mencari teman hidup.

“Kita harap dengan adanya aplikasi ini lebih ramai individu bujang, ibu atau bapa tunggal yang akan mendapat pasangan hidup mengikut acuan Islam,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Maliaman berkata, aplikasi itu kini dalam proses simulasi sebelum dilancarkan secara rasmi bagi memastikan ia berjalan dengan baik mengikut perancangan asal.

Selain itu, katanya, ia juga akan membantu golongan yang berkeinginan untuk berkahwin mendapatkan calon yang memenuhi kriteria kedua belah pihak.

“Apabila sudah menemui pasangan sesuai, bakal pengantin tidak boleh keluar berduaan atau melalukan perkara yang ‘tidak manis’ bagi memastikan proses perkenalan berjalan mengikut syariat Islam.

“Kita juga mahu mencipta suasana yang harmoni antara generasi muda yang ingin memulakan kehidupan suami isteri dengan menjaga adab pergaulan sebelum berkahwin,” ujarnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply