Video tuduh ADUN rasuah: ‘Saya tidak fikir ada elemen rasuah’

Rubin Balang

KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang menganggap video yang disiarkan sejak malam Rabu tidak berunsur rasuah.

Bagaimanapun, Rubin yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, beliau akan beri kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya tidak fikir ada elemen rasuah dalam perjumpaan itu. Tidak mungkin saya perlu disiasat, tapi kalau SPRM panggil saya akan beri kerjasama penuh,” katanya ringkas kepada dihubungi pemberita melalui WhatsApp pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai video yang dimuat naik sejak malam Rabu di mana Rubin turut berada di dalam video tersebut yang sedang berbincang dengan seorang lelaki berkaitan mendapatkan kuota atau lesen.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat Kemabong, Rexy Yankat berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya video yang tersebar melibatkan ADUN Kemabong berkaitan dengan unsur rasuah.

“Video tersebut sebenarnya menunjukkan perbincangan perniagaan yang belum dimuktamadkan. Seorang bekas telah menggunakan tipu daya dengan membawa individu dari ‘Kartel Mineral’ yang dikatakan sebagai ‘pelabur’ untuk membincangkan peluang perniagaan.

“Nasib baik, wakil rakyat tersebut segera menyedari bahawa pertemuan itu hanyalah satu pembaziran masa dan berpotensi membawa agenda tidak baik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Rexy berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas kebijaksanaannya dalam menamatkan kontrak berkenaan kerana dipercayai lebih cenderung mengaut keuntungan daripada hasil bumi Sabah dan bukannya menyumbang kepada kestabilan ekonomi negeri ini.

Sebelum itu, satu lagi video dimuat naik sebuah portal berita memaparkan pendedahan pemberi maklumat mengenai perbualan seorang ADUN dari Sabah dengan ahli perniagaan yang didakwa cuba mendapatkan kontrak menerusi tawaran wang melibatkan jutaan ringgit.

Dalam pendedahan itu, butiran perbualan tersebut melibatkan ahli perniagaan yang menawarkan RM3 juta untuk mendapatkan kouta atau lesen untuk masuk ke kawasan yang dimahukan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply