Uber dan Grab menggantikan teksi di Malaysia menerusi perkhidmatan seru pandu mereka yang kini dominan di pasaran. Dalam masa terdekat perkhidmatan seru ambulans pula mungkin akan diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut laporan CodeBlue, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Norazman Ayob mengatakan pihak mereka sedang mempertimbangkan kerjasama dengan hospital swasta untuk menawarkan perkhidmatan ambulans yang boleh diseru pengguna menggunakan aplikasi telefon pintar seperti Grab dan Uber.
Ambulans terdekat kemudiannya akan pergi mengambil pesakit dengan pelanggan kemudiannya boleh memilih untuk dihantar ke hospital kerajaan ataupun swasta. Pengguna boleh menjejak lokasi ambulans yang diseru secara masa nyata sementara menanti ia tiba.
Tambah Norazman Ayob lagi KKM sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk KKM tidak lagi memiliki sebarang ambulans. Ambulans sedia akan boleh disewakan kepada mereka yang memerlukan menerusi aplikasi seru-ambulans bersama dengan pemandu dan mungkin juga ahli paramedik yang memberikan rawatan awal.
Menerusi perkhidmatan ini, ambulans terhampir boleh diseru dengan segera tanpa perlu melakukan panggilan 999 terlebih dahulu dan ini dapat mempercepatkan proses bantuan diberikan berbanding sistem sedia ada.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.