Rasulullah SAW Bersabda ‘Ipar Adalah Maut!’ Ini Penjelasan Tentangnya

Filem Ipar Adalah Maut kembali diperkatakan selepas ia ditayangkan di Netflix. Berkisar tentang hubungan terlarang abang dan adik ipar yang duduk serumah. Meski ia perbuatan zina yang keji namun hakikatnya ia berlaku dalam masyarakat kita.

Malah ‘ipar adalah maut ini juga ternyata disebut dalam satu hadis Rasulullah SAW. Apa yang dimaksudkan tentang ‘ipar dalam maut’ dalam hadis ini. Mufti Wilayah Persekutuan memberikan penjelasan tentang hal tersebut.

Status antara ipar-duai   adalah   haram muaqqat iaitu haram untuk  dinikahi  dalam tempoh  waktu tertentu. Implikasinya, mereka perlulah memelihara batasan aurat  dan adab pergaulan  ketika berinteraksi antara satu sama lain  bukan seperti  mahram yang lain.  Mereka turut tidak dibenarkan  berkhalwat (berdua-duaan) apatah tidak lagi  bersentuhan kulit. Ini berdasarkan   sabda Nabi SAW :

«إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ» فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: «الحَمْوُ المَوْتُ»

Maksudnya : Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata : Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda : Ipar adalah maut. Riwayat al-Bukhari (5232) Riwayat al-Muslim ( 2172)

Rasulullah SAW menyatakan makna ipar adalah maut (al-hamwu al-maut)  dalam hadis tersebut ialah  tentang kebimbangan fitnah yang bakal muncul dari ipar duai lebih besar bahayanya daripada orang lain.

Kebarangkalian berlaku khalwat dengan ipar duai

Tidak dinafikan kebarangkalian berlaku khalwat dengan ipar duai walaupun hukum ipar berbeza dengan ajnabi, iaitu ipar merupakan mahram sementara yang haram dinikahi manakala wanita ajnabi tidak haram untuk dinikahi.

Maksud ipar ialah kerabat suami selain bapa, datuk dan anak-anaknya. Adapun bapa dan anak – anak suami  hukumnya sudah menjadi mahram untuk isterinya.  Bahkan mereka dibenarkan untuk berdua-duaan di tempat yang sunyi.

Sementara adik-beradik lelaki suami, anak sedara, pakcik sedara sebelah suami dan seumpamanya tidak dikira sebagai mahram, Maksud al-Maut di dalam hadis ialah kebinasaan dan kemusnahan dalam kehidupan yang mana ipar duai lebih utama dilarang dan dijauhi berkhalwat. Ini kerana berdua-duaan dengan ipar duai membawa kepada fitnah dan kebinasaan di dalam agama. (Rujuk Sahih Muslim 4/1711, Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 14/154)

Dalam hal ini, adalah haram hukumnya sekiranya suami dan ipar perempuan duduk berdua-duaan di rumah tanpa isteri. Perkara yang sama juga sekiranya isteri duduk berdua-duaan dalam rumah ipar lelaki tanpa suami. Situasi ini perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah.

Namun, ipar-duai menziarahi dan menumpang rumah bermalam yang berasingan bilik  dibolehkan selagi  adanya mahram disisi ipar duai  dan aman daripada fitnah.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply