SHAH ALAM – Hostel tukang urut wanita warga asing, pusat urut dan restoran antara lima premis yang diserbu dalam Ops Gegar, Ops Sapu dan Ops Selera pada Selasa lalu.
Serbuan dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor itu hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi selama lima jam bermula jam 10 malam itu telah menahan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 16 wanita atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya, pecahan tangkapan PATI membabitkan tiga warga Indonesia, Thailand (11 orang), Bangladesh (5 orang), Vietnam (5 orang), India (8 orang), Myanmar (3 orang), China (1 orang), Nepal (1 orang) dan Sri Lanka (1 orang).
“Tindakan ke atas PATI berusia lingkungan 17 hingga 45 tahun ini diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama selain Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Selain itu, lima saman saksi turut dikeluarkan untuk membantu siasatan,” katanya pada Khamis.
Sepanjang operasi yang dijalankan, beliau mendedahkan, pasukan operasi terpaksa memecahkan pintu hostel pekerja pusat urut selepas penghuni tidak memberi kerjasama.
Katanya, selain itu, ada antara wanita asing ini cuba melarikan diri, namun cubaan itu gagal selepas tindakan pantas pasukan operasi yang melaksanakan kepungan.
“Ada juga wanita ini cuba menyorok belakang tilam dan tangga,” ujarnya.
Tegasnya, JIM Selangor turut menahan seorang lelaki tempatan dipercayai majikan pusat urut terbabit.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.