209 kanak-kanak warga asing, penjaga ditempatkan di Baitul Mahabbah

Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR – Seramai 209 kanak-kanak warga asing dan penjaga telah ditempatkan di Baitul Mahabbah setakat 30 Sept lepas, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penempatan mereka di institusi itu bersifat sementara sehingga proses penghantaran pulang ke negara asal dilaksanakan.

“Baitul Mahabbah ialah satu inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 2023 dan sehingga kini sebanyak lima Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dan satu lagi di Johor akan dibuka dalam masa terdekat.

“Program ini membolehkan pemindahan tahanan kanak-kanak dari depoh imigresen ke satu premis lain di luar depoh untuk kanak-kanak berumur 10 tahun dan ke bawah bersama ibu atau penjaga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu apakah program berasaskan komuniti dikaji sebagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak bawah umur yang ditahan atas kesalahan imigresen dan adakah program yang sama boleh dikaji bagi banduan yang telah habis menjalankan dua pertiga daripada tempoh hukuman penjara mereka.

Shamsul Anuar berkata, Baitul Mahabbah menyediakan persekitaran yang lebih kondusif kepada tahanan kanak-kanak bagi memastikan perkembangan fizikal, mental dan emosi yang lebih sempurna.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa sesi libat urus bersama badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara juga sedang dijalankan bagi meneliti pelbagai inisiatif kepada penahanan kanak-kanak menerusi program berasaskan komuniti.

Menurut Shamsul Anuar, Seksyen 96(1) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) menyatakan bahawa kanak-kanak di bawah umur 14 tahun tidak boleh diperintahkan untuk dipenjara bagi apa-apa kesalahan.

“Sehubungan itu bagi kanak-kanak warga asing yang berumur di bawah 14 tahun akan ditempatkan di depoh imigresen sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal manakala bagi kanak-kanak warga asing yang berumur 14 tahun ke atas yang disabitkan kesalahan imigresen akan ditahan di penjara sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tujuan proses penghantaran pulang ke negara asal,” katanya. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply