Perbuatan zina berleluasa undang azab ALLAH, hancurkan masyarakat

JAUHKAN diri daripada menghampiri zina yang dilarang keras dalam Islam.

JIKA mendekati perkara yang boleh mengundang kepada zina pun sudah dilarang, inikan pula jika kita terang-terangan mahupun sengaja melakukan perbuatan keji itu.

Maskan tidak, zina merupakan jenayah berat dalam Islam dan mendatangkan natijah yang buruk kepada umat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy shukri baru-baru ini mendedahkan, sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu.

Daripada jumlah itu yang diambil berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia, seramai 17,646 remaja dilaporkan tidak berkahwin ketika hamil.

Walaupun mungkin bukan semuanya melibatkan perbuatan zina, tetapi ia begitu membimbangkan kerana melibatkan anak bawah umur.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, zina tidak terkawal merupakan indikator jelas mengenai kerosakan masyarakat yang akan membawa kehancuran dalam jangka masa panjang.

DR AHMAD SANUSI

Bahkan katanya, pembudayaan zina dalam kalangan anak muda menggambarkan rosaknya masa hadapan sesebuah negara.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sekiranya berleluasanya perbuatan zina dan riba dalam sesuatu kawasan, maka mereka telah mengundang azab ALLAH kepada mereka.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)

“Mengertilah, pertumbuhan dan peningkatan budaya zina dalam kalangan mahasiswa berupaya menghasilkan anak-anak zina.

“Ini adalah seakan satu proses ke arah pembinaan keruntuhan sesebuah negara bangsa,” tegasnya.

Fakta itu dikuatkan lagi dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda bersabda: “Umat ini akan sentiasa berada dalam keadaan yang baik selagi mana tidak tersebarnya anak-anak zina. Sekiranya berleluasanya anak-anak zina, maka dibimbangi ALLAH akan merencana azab yang lebih luas buat mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Bagi membanterasnya secara proaktif, Dr Ahmad Sanusi menyeru kepada semua pihak untuk menghentikan segala platform dan ruang yang membawa kepada pembudayaan zina yang keji itu.

“Kita tidak mahu melahirkan pelacur dalam kalangan pelajar. Semua pihak hendaklah menjalankan peranan masing-masing dalam menghancurkan budaya zina ini,” tegas beliau.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM, Dr Muhammad Arif Musa menjelaskan, Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan bahawa perbuatan zina semakin berleluas pada akhir zaman.

DR MUHAMMAD ARIF

Bagi membendungnya, ALLAH SWT sudah nyatakan secara jelas dalam al-Quran menerusi firman-NYA: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya (zina) itu suatu perbuatan keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’: 32)

Jelas ahli akademik itu, caranya adalah dengan menjaga ikhtilat iaitu pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram agar tidak melampaui sempadan dan batasan syariat.

“Jangan pula jika kita dihantar melakukan kerja berdua, lelaki dan wanita, pergi bertugas di luar kawasan lama-lama.

“Kalau boleh elakkanlah meletakkan diri dalam keadaan di mana kemungkinan ada kecenderungan untuk kita terjatuh ke lembah zina.

JAGA batasan pergaulan antara lelaki dan wanita agar tidak melampaui sempadan serta batasan syariat.

“Jauhkanlah diri daripada ‘peluang’ dan tempat yang boleh menghampirkan kita kepada kancah perbuatan keji itu,” titipnya sebagaimana dinyatakan menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook My #QuranTime baru-baru ini.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply