Dari 5km ke 42km: Rahsia Transformasi Larian Anda ke Tahap Maraton!

Selama ini, larian 5km atau 10km mungkin sudah menjadi rutin yang anda kuasai, seakan-akan terlalu mudah untuk ditakluki.

Tetapi, inilah masanya untuk keluar dari zon selesa dan cabar diri dengan jarak yang lebih jauh, memecahkan rekod peribadi dan merasai pengalaman baharu yang lebih mendebarkan!

Menambah jarak bukan sekadar angka di aplikasi larian anda. Ia membawa cabaran mental dan fizikal yang lebih intensif, namun tak mustahil dicapai jika anda bersedia.

Larian sejauh 21km atau 42km bukan hanya memerlukan stamina yang tinggi, malah strategi persiapan yang mantap. MASKULIN ingin berkongsi beberapa tip penting yang perlu anda ketahui sebelum anda berani melangkah ke jarak maraton yang lebih mencabar ini.

Jangan lupa, tanpa persiapan yang cukup, anda mungkin terdedah kepada risiko kecederaan serius!

JAGA MAKAN

Pastikan anda mengambil sekurang-kurangnya 300 kalori beberapa jam sebelum larian untuk memberi tubuh tenaga yang cukup.

Dalam beberapa minggu sebelum acara, uji jenis makanan yang sesuai dengan tubuh anda—pilih makanan yang mampu memberikan tenaga berpanjangan tanpa mengganggu perut.

Jika anda perlukan tambahan tenaga, ambillah snek ringan 30 minit sebelum flag off sebagai suntikan tenaga pantas.

KEKALKAN HIDRASI

Hidrasi yang optimum bukan hanya bermula pada pagi acara! Mulakan rutin hidrasi kira-kira 48 jam sebelum hari larian.

Pastikan badan sentiasa mendapat air secukupnya, agar siap untuk mengharungi cabaran jarak jauh.

Sebagai panduan, minumlah sekitar 200ml air kira-kira dua jam sebelum memulakan larian untuk memastikan tubuh berada dalam keadaan terhidrat dan bersedia sepenuhnya.

Image by Freepik

PAKAIAN SESUAI

Larian jarak jauh memerlukan keselesaan, apatah lagi dengan badan yang akan banyak berpeluh dan terdedah pada pergeseran sepanjang perjalanan.

Elakkan mengenakan pakaian yang berlebihan, kerana ini boleh meningkatkan risiko dehidrasi.

Paling penting, hindari memakai stoking, kasut, aksesori, atau pakaian baru pada hari larian. Sebaliknya, pilihlah pakaian yang sudah biasa dan selesa dipakai untuk memastikan fokus sepenuhnya pada larian.

KENALI LALUAN

Beberapa hari sebelum acara, ambil peluang untuk memeriksa laluan larian anda. Setiap laluan menawarkan cabaran berbeza—dari kecuraman hingga permukaan yang mungkin berbeza-beza.

Dengan mengetahui laluan lebih awal, anda boleh membuat perancangan yang lebih strategik dan bersedia menghadapi sebarang halangan di sepanjang jalan.

PANASKAN BADAN

Sebelum flag off, luangkan sekurang-kurangnya 15 minit untuk sesi pemanasan, diikuti dengan 15 minit regangan. Rutin ini membantu tubuh berada dalam kondisi optimal dan “terjaga,” siap untuk menghadapi larian dengan lebih mantap dan mengurangkan risiko kecederaan.

Image by jcomp on Freepik

RELAKS & KAWAL PERNAFASAN

Jangan biarkan diri tertekan. Kekalkan ketenangan dan kawal degupan jantung untuk mengelakkan rasa berdebar-debar yang berlebihan.

Ingat, anda tidak perlu tergesa-gesa hingga menyebabkan nafas menjadi tidak teratur. Tarik nafas dalam-dalam dan biarkan setiap langkah menjadi sebahagian daripada irama larian anda.

BACA: 10 Kasut Larian Trail Terbaik Pilihan MASKULIN

JAGA PACING

Rasa teruja memang biasa, terutama bagi mereka yang baru pertama kali menyertai maraton. Adrenalin yang mengalir boleh membuat anda terdorong untuk memecut.

Namun, MASKULIN sarankan agar anda fokus pada pacing yang sesuai dengan kemampuan diri.

Tetapkan sasaran kecil—contohnya, 10 kilometer pertama—sebelum meneruskan sasaran seterusnya. Cara ini bukan sahaja menjaga momentum, malah memberikan motivasi berterusan sepanjang larian.

Semoga tip daripada MASKULIN kali ini membantu anda mencapai larian yang lebih bertenaga dan penuh keyakinan!

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply