Penyanyi terkenal, Siti Nordiana menyifatkan penyanyi masa kini sangat bertuah kerana mempunyai pelbagai platform untuk menunjukkan bakat berbanding ketika zaman dia mula bertapak di industri seni sejak dua dekad yang lalu.
Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, pengalaman yang dilalui sejak lebih 20 tahun yang lalu secara tidak langsung telah membentuk dirinya seterusnya menjadikan namanya kekal relavan sehingga sekarang.
“Ketika zaman saya dahulu, memang susah untuk menjadi penyanyi. Kita kena lalui macam-macam pengalaman seperti memasuki pelbagai pertandingan.
“Malah, kita juga sering kali dimarahi dengan pihak produser demi menghasilkan lagu yang best dan memberikan nyanyian yang terbaik.
“Pada saya, penyanyi sekarang sangat beruntung kerana kita sudah punyai pelbagai platform untuk menunjukkan bakat terutamanya di media sosial.
“Jadi, manfaatkanlah peluang itu sebaiknya. Kita juga boleh menarik perhatian ramai peminat. Jika betul nak menyanyi, buatlah yang terbaik,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Hatiku Milikmu ini berkata sedemikian ditemui di majlis sidang media konsert Tomok & Siti Nordiana ‘Memori Mungkin Berulang’ bertempat di The Majapahit, Kuala Lumpur pada Rabu.
Sementara itu, Nana juga akui dirinya banyak belajar daripada kesilapan sewaktu mengadakan konsert solo baru-baru ini menjelang konsert bersama Tomok yang bakal berlangsung Januari depan.
“Vokal saya kini masih dalam proses pemulihan. Saya juga banyak belajar daripada pengalaman konsert solo sebelum ini. Saya kini lebih faham cara-cara untuk buat yang lebih baik.
“Ketika konsert solo sebelum ini, saya akui memang ada sedikit kelemahan. Namun, saya jadikan ia sebagai pengajaran. Untuk konsert kali ini, saya akan membuat persiapan lebih awal,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, bagi memantapkan vokalnya dia masih menghadiri kelas intensif di bawah bimbingan Datuk Syafinaz Selamat.
“Saya memang ada pergi ke kelas vokal bersama Cikgu Syanfinaz Selamat. Bukan sahaja ketika konsert, saya memang pergi ke kelas sebulan sekali untuk memperbaiki kualiti vokal,” ujarnya.
Menyentuh konsert anjuran syarikat milik Tomok, Popsicle Records yang berlangsung pada 1 Februari 2023, Siti Nordiana mengakui teruja sebaik rakan seperjuangannya itu mempelawanya.
“Ini kali pertama saya dan Tomok akan berkongsi pentas mega membawakan lagu duet kami serta mengimbas nostalgia kegemilangan seleksi hits saya dan Allahyarham Achik.
“Kami juga akan membawakan dendangan popular kami sepanjang dua dekad dalam industri muzik,” ujarnya
Tiket pula sudah mula dijual pada 28 Oktober dengan harga permulaan RM98, RM198, RM298, RM398, RM498 dan VIP BOX RM5000.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.