‘Saya Berikrar Akan Terus Perjuangkan Muzik & Seni Tanah Air Supaya Terus Berkembang, Dihargai’

Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, meluahkan rasa syukur selepas dianugerahkan gelaran Biduanita Negara dalam Anugerah Seni Negara 2024.

Pelantun lagu popular Wajah Kekasih itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi, atas penghormatan tersebut.

BACA: Siti Nurhaliza Secara Rasmi Dianugerahkan Gelaran Biduanita Negara Ketiga Dalam Sejarah

Menurutnya, gelaran itu memberi tanggungjawab besar untuk terus memartabatkan seni dan budaya Malaysia.

“Saya sangat bersyukur di atas penganugerahan ini. Ia bukan hanya pengiktirafan untuk saya, tetapi juga untuk semua penggiat seni yang berjuang untuk muzik dan budaya kita.

“Saya berikrar akan terus memperjuangkan muzik dan seni tanah air supaya ia terus berkembang dan dihargai,” katanya.

Siti juga menitipkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana memberikan bakat yang membolehkan beliau memberi inspirasi dan pengaruh positif melalui seni.

Dalam momen penuh emosi, Siti mengimbau kenangan bersama arwah ayahnya, Haji Tarudin Ismail, yang sering mengibaratkan dirinya seperti bunga melur.

“Seni menyatukan kita semua, tanpa mengira bangsa dan agama. Saya akan terus berusaha memberikan nilai positif dalam setiap karya saya.

“Saya akan sentiasa mengingati kata-kata ayah, yang mengatakan saya seperti bunga melur, walaupun sederhana, tetap memberi kesan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada suami, anak-anak, ibu bapa, serta semua yang terlibat dalam perjalanan seni saya,” ujarnya lagi.

Selain itu, Siti turut menghargai sokongan daripada media, penerbit, komposer, serta peminat-peminat yang setia menyokongnya sepanjang 29 tahun karier seni beliau.

Dengan gelaran Biduanita Negara ini, Siti berazam untuk terus menghasilkan karya terbaik dan membawa muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

“Semoga penghargaan ini menjadi pembakar semangat saya untuk terus berkarya,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagramTikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Comments

Leave a Reply