Pencapaian Tecer Mass Diiktiraf Top 100 Pakar Estetik dan Kecantikan MTAB 2024

Menjadi usahawan bumiputera tunggal dalam meraih pengiktirafan Top 100 Malaysia Trustworthy Aestheticians & Beauticians 2024, Mastura Idris atau lebih dikenali sebagai Tecer Mass menyatakan dirinya bangga dalam menerima anugerah ini serta ianya merupakan pengiktirafan terbesar dalam kerjayanya.

Pencapaian Tecer Mass Diiktiraf Top 100 Pakar Estetik dan Kecantikan MTAB 2024

“Saya rasa sangat bersyukur kerana usaha dan dedikasi selama ini dihargai dan dipercayai. Ia memberi keyakinan untuk terus maju dalam bidang ini, selain berusaha meningkatkan lagi kemahiran dan perkhidmatan yang saya tawarkan,” ujarnya anugerah ini bukanlah berbayar seperti yang diperkatakan.

Anugerah Top 100 Malaysia Trustworthy Aestheticians & Beauticians (MTAB) di bawah Majlis Tindakan Pengguna Negara (MPTN) telah disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat World Humanitarian Drive Malaysia Chapter, Profesor Datuk Dr GP Doraisamy Govindasamy di Geno Hotel, baru-baru ini. 

Persaingan Sihat Walaupun Harus Bertanding Dengan Bangsa Lain

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Beauty Expert Aesthetics & Academy serta Guru Aesthetics ini berkata, walaupun dimonopoli pakar estetik bangsa lain, namun ia merupakan persaingan sihat yang dinilai sepenuhnya oleh badan profesional.

“Saya diberitahu ramai sahaja rakan usahawan dalam kalangan Melayu, India dan Cina yang lain cuba nasib untuk dinilai oleh barisan profesional tetapi dalam penilaian peperiksaan nama saya terpilih dan saya rasa ia adalah satu peluang malah bukanlah mudah untuk bersaing dengan 300 calon. 

“Saya tidak sangka menjadi satu-satunya penerima Bumiputera dan berhijab kerana sukar untuk bersaing dengan kaum lain yang sememangnya sudah kuat dan mempunyai nama besar dalam industri estetik dan kecantikan.  

“Persaingan itu sihat dan memacu saya untuk sentiasa memberikan yang terbaik. Setiap pakar tidak kira bangsa, mempunyai kelebihan tersendiri. Saya percaya persaingan ini bukan sahaja meningkatkan standard industri, tetapi juga memberi peluang untuk kita belajar dan berkembang bersama dalam bidang estetik,” katanya.

Mastura Sudah Siap Rancang Untuk Masa Hadapan

Ibu bekerjaya ini telahpun membuat perancangan selepas memenangi anugerah untuk terus memberi impak positif kepada industri dan berkembang lebih jauh.

“Saya akan menggunakan peluang ini untuk meningkatkan perkhidmatan dengan teknik dan rawatan inovatif. Selain itu, saya ingin memperluas jenama akademi dan pusat estetik serta berkongsi kemahiran melalui seminar dan sesi latihan di serata Malaysia,” katanya.

Mastura turut menasihati usahawan dalam bidang estetik dan kecantikan yang lain untuk yakin dengan kemampuan diri dalam bersaing di pasaran.

“Nasihat saya, binalah jaringan untuk kembangkan hubungan dengan pelanggan dan rakan industri. Jangan takut gagal dan anggaplah kegagalan sebagai peluang untuk belajar dan maju,” akhiri beliau.


Posted

in

, , , , ,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply