TEMERLOH – Tindakan berani dua sahabat mengambil risiko untuk menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh di Sungai Pahang di Kampung Benom di sini pada Mei lalu mendapat penghargaan polis pada Selasa.
Mohammad Akif Sulaiman,32, dan Mohamad Hakim Mazlan,34, dari Kampung Kuala Tekal itu menerima sijil penghargaan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Temerloh yang disampaikan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan.
Menceritakan kejadian itu, Mohammad Akif berkata, mereka nekad untuk menyelamatkan lelaki terbabit yang ketika itu berada di atas tebing tepi sangkar ikan manakala Hakim sedang memancing di atas bot.
“Mangsa boleh berenang lagi selepas terjun tapi bila sampai tengah, arus laju dan dia mula tenggelam timbul sebelum saya selamatkan dan meminta dia pegang pada bot yang dinaiki Hakim.
“Ketika itu, saya hanya terfikir nak selamatkan nyawanya selain gunakan kemahiran berenang yang ada,” katanya yang juga pengusaha ikan sangkar.
Jelasnya, mereka mengambil masa lebih sejam untuk menyelamatkan mangsa berusia 26 tahun itu yang dilihat tetap meronta dan tidak mahu diselamatkan.
Dalam pada itu, Hakim berkata, mangsa terpaksa diikat kerana dia masih mahu terjun semula ke dalam sungai sebelum orang awam menelefon pihak polis.
“Keadaan air pun ketika itu juga deras dan kerjasama orang ramai turut membantu dalam proses menyelamatkan mangsa,” akuinya yang pertama kami berdepan insiden sebegitu.
Jelasnya, penghargaan yang diberikan oleh pihak polis kepada mereka amat dihargai dan berharap lebih ramai lagi masyarakat dapat membantu mereka yang berada dalam situasi kecemasan.
Sementara itu, Mazlan memberitahu, keberanian dua sahabat itu menyelamatkan nyawa perlu dijadikan contoh kepada orang lain.
“Kita berterima kasih kepada masyarakat yang membantu pihak polis seperti yang selalu disebut, polis dan masyarakat berpisah tiada,” tambahnya.
Selain dua sahabat itu, tiga lagi orang awam menerima sijil penghargaan iaitu Fairol Saed Rus,46; Mohd Basir Mohamed Ali,47 dan Sam Sim Huat,55.
Turut berlangsung penyerahan sijil penghargaan kepada 18 penerima terdiri pegawai dan anggota serta 11 pengamal media tempatan termasuk wartawan Sinar Harian, Rosilawati Rosedi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.