Amanah Johor hairan hasrat tanding 20 kerusi dikritik UMNO

Laporan Sinar Harian (kiri), Dzulkefly

JOHOR BAHRU – Hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mahu bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi di negeri ini merupakan persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Timbalan Pengerusi Amanah negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, UMNO sewajarnya tidak menyindir atau mengkritik sebelum mendapatkan maklumat tepat mengenai hasrat tersebut.

Menurutnya, seeloknya UMNO berbincang dahulu jika benar-benar ikhlas dalam meneruskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).

“Keputusan yang dibuat parti untuk bertanding 12 hingga 20 kerusi di Johor tidak membabitkan mana-mana parti sekali pun dan ia merupakan pendirian yang diasaskan selepas perbincangan dan kajian yang telah dilakukan.

“Pendirian Amanah Johor sangatlah jelas (loud and clear) bagi menghadapi PRN atau PRU16 sekiranya kami dan PH bersama dengan UMNO/BN di bawah jenama Kerajaan Perpaduan Madani ataupun persediaan awal dalam pertembungan tiga penjuru yang membabitkan gabungan PH, BN dan PN,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau juga meluahkan rasa hairan kenapa UMNO terlalu takut dan ghairah dalam menghentam Amanah Johor sedangkan tiada nama mana-mana parti yang dipetik dalam kenyataan sebelum ini.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri sebelum ini menyatakan mereka belum bersedia mengumumkan sama ada kerjasama parti itu dengan PH akan terpakai dalam PRN Johor akan datang seperti mana formula yang diguna pakai di PRN Sabah tahun hadapan.

“Kesediaan kami ini berasas dan bukan hanya cakap kosong kerana menurut rekod sebelum ini pada PRU14, PH berjaya dipilih menjadi kerajaan di Johor dengan Amanah mendapat sebanyak sembilan kerusi DUN.

“Namun ketimbang dengan prestasi ketika di PRN15, PH hanya memenangi 12 kerusi DUN sahaja dan Amanah hanya menang satu kerusi kerana PRN tersebut diadakan dalam fasa Pandemik Covid 19 ketika itu,” katanya.

Pada 5 November lalu, Sinar Harian melaporkan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman menyifatkan kenyataan terbaharu Amanah Johor yang masih mempersoalkan mengenai Kerajaan Perpaduan masih belum dibentuk di negeri ini, disifatkan sebagai cubaan ‘menjolok sarang tebuan’.

Beliau berkata, kenyataan yang menyebut jumlah kerusi yang akan ditandingi Amanah pada pilihan raya akan datang, juga umpama pengisytiharan ‘perang’ dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor.

Kenyataan Abdul Halim itu susulan kenyataan Dzulkefly sebelum itu dilaporkan berkata, partinya tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara PH dan BN pada PRN dan PRU akan datang berikutan Johor kini masih belum membentuk Kerajaan Perpaduan.

Amanah Johor juga dilaporkan menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN di Johor, sama ada bersama BN atau bersama dengan gabungan asal, PH.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply