SEMUA orang terutamanya umat Islam pastinya inginkan pengakhiran hidup atau kematian yang baik disebut sebagai husnul khatimah.
Sebagai contoh, kematian Yakob Ramli, imam di Surau Permatang Pak Elong, Kepala Batas yang meninggal ketika sedang sujud pada solat Subuh baru-baru ini merupakan husnul khatimah baginya dan disifatkan sebagai kematian yang dicemburui ramai.
Begitu juga Imam 3 Masjid Al-Falah, USJ 3, Subang Jaya, Muhammad Hakimi Mustapai yang meninggal dunia dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk bertugas mengimami solat Maghrib turut dikatakan sebagai husnul khatimah.
Tanyalah sesiapa sahaja, tentunya kita semua mahukan pengakhiran yang baik walaupun ajal maut tidak diketahui bila waktunya.
Bagaimanapun, perkongsian pendakwah, Ustazah Asma’ Harun mengenai kisah pramugari yang menangis dan risau akan pengakhiran hidup mereka sekiranya mereka meninggal dalam keadaan tidak menutup aurat.
Memulakan ceritanya, Ustazah Asma’ berkata, ketika memulakan langkah untuk keluar dari kapal terbang, dua orang pramugari datang kepadanya dan memeluknya dengan erat.
Dengan perasaan sebak mereka berkata: “Ustazah, tolong doakan kami dibenarkan menutup aurat, kami selalu buat rayuan atau doakan kami dapat kerja lain.”
Beliau memberitahu, ramai pramugari yang menangis dan meluahkan perasaan tidak selesa berpakaian pramugari yang tidak menutup aurat itu.
“Sebenarnya saya jumpa ramai pramugari yang sudah berhijrah dan di luar kerja menutup aurat dengan sempurna.
“Yang masih kekal bekerja ada sebab, ada bercerita dia antara yang selalu bersuara bawa ke pihak atasan untuk hak wanita Muslim, jadi jika dia berada di luar (syarikat), dia tidak boleh nak terus berjuang.
“Ada yang memang terdesak, ibu tunggal dan sudah cuba cari kerja (namun) masih tidak jumpa. Cuba juga berniaga macam-macam juga tidak menjadi,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya baru-baru ini.
Ujarnya lagi, beliau menjelaskan kepada pramugari atau pekerja-pekerja yang terpaksa membuka aurat ketika bekerja itu, jangan pernah merasa reda, bangga atau selesa dengan pakaian tersebut dan mesti ada rasa bersalah.
“Selalu kena ada niat dan usaha untuk mencari kerja yang tidak melanggar syarak. Juga perlu usaha berterusan memohon dengan pihak berkenaan kebenaran hak asasi manusia iaitu boleh melaksanakan kehidupan beragama.
“Sentiasalah beristighfar, mohon ampun dan bertaubat kepada ALLAH. Moga ALLAH mengampuni kita semua,” nasihatnya.
Sambungnya lagi, wanita yang sudah menutup aurat juga belum pasti bagaimana situasi akhir dan tidak ada jaminan bagi mereka.
“Yang kita ada adalah usaha hendak jadi lebih baik. ALLAH pandang usaha kita,” katanya.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikelnya Al-Kafi #1359: Apakah tanda-tanda kematian yang baik (husnul khatimah)? menyenaraikan beberapa tanda bagi kematian yang baik antaranya:
1 – Mati pada hari atau malam Jumaat.
2 – Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.
3 – Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya.
4 – Dia diberikan taufik dan hidayah oleh ALLAH SWT beramal soleh sebelum dia meninggal dunia.
5 – Dia berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan ALLAH SWT.
6 – Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut.
7 – Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan ALLAH SWT.
8 – Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak.
9 – Meninggal dunia kerana mempertahanakan harta dan maruah dirinya.
10 – Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.