Penyanyi terkenal dan tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa membuktikan pengaruhnya masih lagi berbisa apabila tiket pra-jualan Konsert Here I Am yang dibuka bermula pukul 3.00 petang semalam habis dijual dalam masa tiga jam sahaja.
Menariknya, tiket kategori zon Festival habis dijual hanya dalam masa empat minit.
Terharu dengan sambutan peminatnya di Malaysia, pemilik nama sebenar Rossa Roslaina Handiyani ini turut menyatakan keterujaannya untuk kembali beraksi di pentas Malaysia dan menghiburkan para peminatnya di negara ini.
“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan menyampaikan lagu-lagu yang membawa maksud mendalam buat diri saya”
“Sokongan peminat di Malaysia sentiasa menghangatkan hati saya dan saya tidak sabar untuk berkongsi detik istimewa ini bersama mereka setelah 25 tahun berkarya,” kata penyanyi kelahiran Sumedang, Jawa Barat ini yang bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.
Dalam pada itu, bercakap mengenai konsert susulan kepada filem dokumentari ‘All Access to Rossa: 25 Shining Years’ yang ditayangkan bulan lepas merupakan anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama SAH Entertainment, sebagai tanda penghargaan buat peminat Rossa yang setia menyokong perjalanan kariernya.
Selain itu, antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah seperti Nada Nada Cinta, Pudar, dan Hey Ladies, selain beberapa persembahan eksklusif lain.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin Ghazali berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjayakan konsert tersebut sebagai inisiatif untuk merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia melalui platform muzik seterusnya membantu Malaysia mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, Rossa adalah ikon seni yang disegani serta dihormati. Pihaknya yakin konsert ini akan memberikan pengalaman dan memori terindah buat semua peminat beliau serta memperkukuh ikatan persaudaraan serantau.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.