SHAH ALAM – Dasar atau polisi baharu yang akan diperkenalkan Amerika Syarikat (AS) akan menjejaskan sektor perdagangan dunia termasuk Malaysia berikutan kebanyakan negara mengamalkan ekonomi terbuka.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, ia berikutan AS merupakan sumber pelaburan langsung asing Malaysia dan antara rakan dagangan yang terbesar.
Menurutnya, negara akan menerima kesan secara langsung sekiranya dikenakan tarif terhadap barangan yang dieksport ke AS dan turut menerima tempias jika cukai yang tinggi diberikan kepada produk China.
“Pertama, apabila AS menaikkan tarif, sudah tentu barang menjadi mahal. Barang-barang import termasuklah daripada Malaysia akan menyebabkan ia kurang digemari dan akhirnya terjejas.
“Kedua, AS juga mahu mengenakan cukai yang agak tinggi kepada China, maka ia akan beri kesan kepada ekonomi China tetapi pada masa sama kita turut terkena tempias kerana China menggunakan barangan pertengahan yang dibeli dari Malaysia sebelum dijadikan barang akhir dan mengeksport barangan mereka.
“Ketiga, Donald Trump turut menggambarkan bahawa beliau mahu fokuskan ekonomi domestik, maksudnya ingin kurangkan tenaga buruh asing,” katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Malaysia akan memantau dasar ekonomi baharu yang akan diperkenalkan oleh Kabinet baharu AS setelah kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden di negara itu baru-baru ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, polisi-polisi yang bakal diperkenalkan diharap dapat merangsang ekonomi global.
Mengulas lanjut, Baharom bagaimanapun berkata, bukan semua dasar baharu itu dapat dilaksanakan oleh presiden negara berkenaan berikutan terdapat tentangan dan bantahan Rizab Persekutuan AS (Fed).
“Kalau Trump meneruskan dasar-dasar mengenakan tarif kepada barangan import dan mengeluarkan imigran akan menyebabkan kos buruh meningkat, maka langkah-langkah ini akan menyebabkan inflasi berlaku.
“Apabila inflasi berlaku di AS, Fed tiada pilihan selain daripada menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) untuk melawan inflasi sedangkan Fed sekarang ini sedang cuba meredakan inflasi. Jadi, Trump tidak akan suka kalau Fed naikkan kadar sebab dia nakkan keadaan yang kondusif,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.