APABILA menyebut tentang hutang, ramai keberatan untuk memberikannya lantaran kesukaran untuk menuntutnya pada kemudian hari memandangkan banyak kes sebegitu berlaku sebelum ini.
Situasi berbeza pula dengan sedekah kerana masyarakat kita sememangnya begitu pemurah. Apatah lagi ia tidak tertakluk kepada nilai tertentu dan bergantung kepada keikhlasan masing-masing.
Bagaimanapun, ada yang menimbulkan persoalan tentang perbuatan memberikan hutang dan amalan sedekah.
Antara memberi infak duit kepada masjid atau institusi tahfiz dan sebagainya dengan memberi pinjaman kepada pemiutang yang memerlukan, mana lebih afdal?
Sebelum menjawab persoalan itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan tentang keutamaan memudahkan urusan dan membantu orang yang mengalami kesukaran.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memudahkan apa sahaja kesulitan saudaranya dalam urusan dunianya, nescaya ALLAH akan mempermudahkan urusannya daripada sebarang kesulitan pada hari kiamat kelak. Dan ALLAH akan sentiasa membantu hamba-NYA selama mana hamba-NYA itu membantu saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, jelas Dr Zulkifli, pemberian hutang merupakan antara bentuk bantuan yang sering diminta dan hadis itu mengandungi pujian serta galakan untuk memberi hutang kepada orang berkeperluan yang memintanya.
“Bahkan, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami memasukkan hadis itu ketika membicarakan soal anjuran memberi hutang dalam bab al-Qardh (hutang piutang),” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #6988: Beri hutang atau sedekah yang disiarkan laman web Maktabah Albakri.
Berdasarkan nas itu dan hadis-hadis sahih lain, Dr Zulkifli menjelaskan, memberi hutang kepada penghutang yang berkeperluan dan diketahui menyalurkan duit pinjaman kepada jalan kebaikan adalah lebih utama serta lebih afdal berbanding menyedekahkan jumlah tersebut kepada masjid atau maahad tahfiz.
“Ketahuilah bahawa melazimi pemberian hutang kepada orang memerlukan adalah perbuatan yang hampir menyamai amalan bersedekah.
“Dari satu segi, memberi hutang lebih akrab kepada unsur membantu orang lain yang dalam keadaan begitu terdesak, manakala sedekah ke masjid atau maahad tahfiz pula berbentuk umum.
“Apatah lagi, institusi berkenaan sudah mempunyai pendanaan tersendiri daripada yuran dan infak orang lain,” katanya.
Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang memberi hutang (kerana) ALLAH sebanyak dua kali; maka pahalanya adalah sama seperti dia bersedekah pada salah satu hutang yang dia pinjamkan itu.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Agamawan itu kemudian menukilkan pandangan Imam ‘Abd Al-Ra’uf Al-Munawi yang menjelaskan bahawa: “Sedekah lebih afdal dari sudut pengakhirannya, namun hutang lebih afdal dari sudut permulaannya kerana ia lebih memelihara air muka (maruah) orang yang tidak biasa meminta-minta.”
“Bahkan, pahala dan ganjaran memberi hutang kerana ALLAH SWT turut dikatakan lebih besar berbanding pahala memberi sedekah di sisi-NYA,” katanya.
Jika penghutang dalam keadaan terdesak dan kita pula berkemampuan, jelas Dr Zulkifli, maka wajib meminjamkan duit serta memberikan hutang kepadanya.
“Adapun jika kita mengetahui bahawa penghutang itu meminjam duit untuk menyalurkannya kepada perkara yang haram atau makruh, maka dilarang untuk kita meminjamkan duit kepadanya,” ungkapnya.
Baik memberi hutang ataupun bersedekah, ujar agamawan itu lagi, umat Islam dituntut untuk melazimi kedua-dua amalan tersebut dan menggabungkan kedua-duanya untuk menggapai fadilat serta ganjaran bersedekah dan memberi hutang bersama.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.