Kor Ming ingatkan pembangkang Dewan Rakyat bukan tempat tabur fitnah

Kor Ming pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa kecoh gara-gara isu wang tunai RM94 juta yang didakwa ditemui di kediaman seorang bekas menteri daripada DAP.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming semasa sesi penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa, mengingatkan ahli Parlimen bahawa Parlimen bukanlah tempat untuk menabur fitnah.

Beliau menjelaskan, tidak berhasrat untuk memberi tazkirah tetapi sekadar menasihatkan semua ahli Parlimen untuk mengambil iktibar bersama.

“Sebagai Ketua Whip DAP dalam Parlimen, saya ingin merakamkan perasaan yang amat kesal terhadap sikap Pendang (Datuk Awang Hashim) yang berkali-kali bohong dan menabur fitnah dalam dewan yang mulia ini, sekali gus menjatuhkan imej Parlimen.

“Ia termasuk membuat tuduhan kononnya ada RM94 juta wang tunai dalam rumah bekas menteri DAP. Ini nawaitu yang sangat jahat. Kita semua tahu agama suci, Islam melarang dosa fitnah. Malah, fitnah itu lebih kejam daripada kesalahan membunuh.

“Tapi Pendang boleh fitnah dalam dewan yang mulia ini. Malah, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan di mana itu adalah satu pembohongan, mereka tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya.

Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) kemudiannya bingkas bangun dan menyifatkan kenyataan Kor Ming sebagai ‘unparliamentary’.

“Ini satu kenyataan ‘unparliamentary’, menuduh seorang ahli Dewan Rakyat sebagai berbohong. Satu perkara yang tidak wajar dilakukan,” tegasnya.

Chong Zhemin (PH-Kampar) kemudiannya menyampuk dan bertanyakan kedudukan Wan Saiful semasa tuduhan tersebut dilemparkan.

Kor Ming sekali lagi mempertahankan kenyataannya dan enggan memberi laluan kepada Wan Saiful untuk meneruskan ucapannya.

“Kita harap dewan yang mulia ini tidak jatuh standard kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” kata Kor Ming sebelum menamatkan sesi penggulungannya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply