Hukum Solat Jamak Ketika Banjir, Hanya Dibolehkan Dalam Keadaan Tertentu Sahaja

Masuk hujung tahun ini musim tengkujuh atau musim hujan pun bermula. Ada kawasan yang akan dilanda banjir malah memaksa penghuninya berpindah ke pusat penempatan banjir dalam sebagainya.

Dalam kekalutan sebegini ada mangsa banjir yang mengaju persoalan adakah dibolehkan untuk melakukan solat jamak?

Berikut dalah penjelasan daripada Ustazah Asma’ Harun tentang persoalan ini dalam satu hantaran di akaun sosial media miliknya.

Solat jamak ketika banjir

Menurut pandangan muktamad mazhab Syafie, TIDAK BOLEH melakukan jamak kerana banjir, ini kerana banjir tidak termasuk dalam keuzuran yang mengharuskan jamak solat.

Namun sebahagian ulama fiqh berpendapat BOLEH jamak solat kerana banjir.

Maka dengan pandangan yang kedua ini MEMBOLEHKAN seseorang melakukan jamak dua solat kerana banjir.

Tetapi apa yang lebih baik baginya adalah tidak melakukan jamak, kerana:

  1. Melaksanakan solat dalam waktu asalnya adalah lebih afdhal.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah suatu kefardhuan atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya.” (Surah an-Nisa: 103)

  1. Untuk keluar dari khilaf ulama.

Dalam kaedah fiqh menyebutkan :

مَنِ ابْتُلِيَ بِشَيْءٍ فَلْيُقَلِّدْ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya: “Sesiapa yang diberati dengan sesuatu maka dia boleh bertaqlid kepada ulamak yang mengharuskan.”

Solat jamak DIBOLEHKAN atas beberapa faktor seperti berikut:

-Perjalanan (musafir) yang melebihi 91 kilometer.

-Hujan lebat bagi orang yang biasa melazimi solat berjemaah di masjid.

-Sakit kuat.

Dalam situasi banjur, mangsa atau petugas DIBOLEHKAN untuk melakukan solat jamak KETIKA SITUASI MENDESAK SEPERTI MENYELAMATKAN DIRI ATAU HARTA SEMASA BANJIR. Di sini digalakkan untuk solat jamak secara taqdim. Sekiranya menjangkakan akan berlaku kesukaran yang darurat untuk menunaikan solat jamak taqdim, maka dibolehkan menunaikan solat jamak takhir.

Merujuk laman web Mufti Wilayah Persekutuan, apabila seseorang itu telah berada di pusat penempatan sementara yang disediakan, contohnya di dewan orang ramai, sekolah-sekolah dan sebagainya. Maka, menunaikan solat secara jamak TIDAK DIBOLEHKAN, ini kerana pada situasi tersebut, mangsa banjir ditempatkan secara beramai-ramai dan kawasan penempatan tersebut kering dan lapang.

Menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Fatwa Mu’asiroh, beliau MENGHARUSKAN jamak dalam keadaan UZUR DAN DARURAT SAHAJA. Contohnya, rumah dimasuki air, tiada tempat untuk solat, hujan masih turun, pakaian dan keperluan harian serba kurang, keperluan air pula terhad, dan situasi darurat ketika menunggu untuk dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sahaja.

Kesimpulan

Mereka yang terlibat dengan bencana banjir DIBOLEHKAN melaksanakan solat fardhu secara jamak SEKIRANYA:

1) Berada dalam SITUASI MENDESAK seperti ketika rumah sedang dinaiki air sehingga tiada tempat untuk solat.

2) Semasa sedang menyelamatkan diri dan harta semasa banjir.

3) Situasi darurat semasa menunggu untuk dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Bagi mangsa banjir yang telah ditempatkan secara beramai-ramai di kawasan penempatan yang kering dan lapang yang tidak ada darurat padanya, mereka hendaklah melakukan solat secara sempurna TANPA MENJAMAKNYA.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply