KWSP rekod pendapatan pelaburan RM57.57 bilion, ada potensi dividen tahun depan dapat lebih. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.57 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024, 20 peratus lebih tinggi berbanding RM47.86 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
KWSP Rekod Pendapatan Pelaburan RM57.57 Bilion
Daripada jumlah tersebut, RM48.02 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM9.55 bilion lagi untuk Simpanan Shariah.
Setakat September 2024, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM1,222.34 bilion, dengan 62.2 peratus dan 37.8 peratus diperuntukkan kepada pelaburan dalam dan luar negara.
Pada suku tahun ketiga berakhir 30 September 2024 (S3 2024), jumlah pendapatan pelaburan adalah RM19.67 bilion, meningkat sebanyak RM5 bilion daripada RM14.67 bilion yang direkodkan pada suku tahun sama pada 2023.
Kredit: Berita Harian
Pelaburan luar negara menyumbang sebanyak RM10.50 bilion, merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Ada Potensi Dividen Tahun Depan Dapat Lebih
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi kukuh KWSP adalah bukti kepada strategi pelaburannya yang merangkumi portfolio yang pelbagai merentasi kelas aset utama.
“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat dengan kukuh sebanyak 5.9 peratus tahun-ke-tahun pada suku tahun kedua, dan petunjuk utama Bursa Malaysia, FBM KLCI ditutup pada 1,648 mata pada akhir suku tahun ketiga.
“Dengan pulangan sebanyak 13 peratus setakat tahun ini, para pelabur terus optimis terhadap prestasi asas syarikat-syarikat Malaysia, dasar ekonomi Malaysia, dan pembaharuan fiskal.
“Pasaran global secara amnya menunjukkan prestasi positif sepanjang suku tahun ini, didorong oleh permulaan kitaran pelonggaran kadar faedah apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada bulan September,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pengurangan kadar faedah di AS yang dinantikan telah mendorong sentimen pasaran dan keuntungan merentasi pelbagai sektor, termasuk Amanah Pelaburan Hartanah (REIT), utiliti dan kewangan, yang semuanya memberi kesan positif kepada portfolio pelaburan KWSP.
“Pertumbuhan KDNK sebenar China dicatatkan pada 4.6 peratus tahun ke tahun, menurun sedikit daripada 4.7 peratus pada suku sebelumnya.
“Walau bagaimanapun, risiko kekal dalam prospek global seperti trajektori dan kadar pengurangan kadar faedah, ketegangan geopolitik yang berterusan dan semakin meningkat terutama di Asia Barat, serta potensi tarif import yang lebih tinggi ke AS dengan pemilihan Donald Trump selaku Presiden minggu lalu,” katanya.
Sumber: Kosmo online
Kredit foto (top image): Berita Harian online
Baca artikel lain juga: Daftar Anak Jadi Ahli KWSP Seawal Usia 14 Tahun Untuk Simpan Duit, Tak Payah Tunggu Kerja
Duit KWSP Cepat Habis? Ini 5 Penjelasan Pakar
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.