TAIPING – UMNO Perak menepis dakwaan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang lumpuh susulan peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa sayap itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan meletak jawatan itu hanya akan membawa kepada pemilihan semula jawatankuasa pemuda UMNO bahagian tersebut.
Menurutnya, isu tersebut dalam perhatian dan sedang diuruskan oleh UMNO Bahagian Bukit Gantang.
“Dia tak lumpuh sebenarnya sebab ada klausa dalam perlembagaan UMNO jika mana-mana entiti tak semestinya pemuda atau puteri atau wanita termasuk bahagian jika terdapat seluruh jawatankuasa meletakkan jawatan ataupun bilangan meletakkan jawatan itu menyebabkan tidak boleh diadakan mesyuarat jawatankuasa bahagian, maka kena buat mesyuarat perwakilan semula.
“Itu yang berlaku kepada Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang sebab ada prosedurnya UMNO Bahagian Bukit Gantang telah buat laporan itu kepada Setiausaha Agung UMNO dan kita tunggulah surat arahan untuk mengadakan mesyuarat perwakilan bagi tujuan pemilihan semula. Insya-ALLAH tak ada apa-apa masalah,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 8 Dewan Bunga Raya, Changkat Jering di sini pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohamad Adri Adha Mohamad dalam satu kenyataan menyerahkan kepada kebijaksanaan Ketua UMNO Bahagian, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie untuk menyelesaikan krisis berkenaan.
Beliau turut menafikan laporan bahawa dirinya telah meletakkan jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian begitu juga Naib Ketua Pemuda serta AJK Pemuda UMNO bahagian berkenaan seperti didakwa.
Pada 17 Oktober lalu sebuah portal berita melaporkan Pemuda Umno Bukit Gantang didakwa ‘lumpuh’ apabila hampir semua ahli jawatankuasa (AJK) meletak jawatan kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan prestasi Mohamad Adri Adha.
Laporan tersebut turut mendakwa hanya Mohamad Adri Adha kekal dalam jawatankuasa itu selepas Naib Ketua Pemuda serta barisan AJK bahagian terbabit meletak jawatan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.