‘Gobind masih penting dalam DAP walau tewas pemilihan di Selangor’ – Anthony

Anthony Loke (dua dari kanan) ketika sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) pada Isnin.

SEBERANG JAYA – Kekalahan Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo dalam Pemilihan DAP Negeri Selangor pada Ahad disifatkan sebagai perkara biasa dan ia sebahagian daripada proses demokrasi parti.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, meskipun Gobind tidak lagi menerajui DAP Selangor, namun beliau masih mempunyai peranan penting sebagai Timbalan Pengerusi DAP di peringkat pusat.

Menurutnya, Gobind yang berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Selangor bagi penggal 2021-2024 juga menerima kekalahannya dan menghormati kehendak perwakilan.

“Ia memang kekalahan mengejut, namun beliau akan terus memainkan peranan penting sebagai Timbalan Pengerusi DAP di peringkat nasional.

“Saya berterima kasih kepada Gobind atas sumbangannya kepada DAP Selangor selama ini.

“Kekalahannya tidak bermakna dia perlu berundur, pastinya tidak,” katanya ketika sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) di sini pada Isnin.

Pada Ahad media melaporkan Gobind yang juga Menteri Digital gagal mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Selangor kerana tewas dalam pemilihan Pemilihan DAP Negeri Selangor bagi penggal 2024-2027.

Pemilihan berlangsung sempena Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC).

Berdasarkan keputusan pemilihan yang diumumkan, Gobind hanya memperoleh 675 undi, sekali gus gagal meletakkan namanya dalam kelompok 15 teratas untuk dilantik jawatan tertinggi DAP negeri.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han dipilih sebagai Pengerusi DAP Selangor yang baharu.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply