Movember – Sejarah, Signifikansi, dan Bagaimana Kita Boleh Menyokong Kesedaran Kesihatan Lelaki

Ketibaan bulan November memberikan signifikasi cukup  penting terhadap kesedaran kesihatan lelaki. ‘Movember’ merupakan gerakan yang semakin mendapat perhatian global, khususnya dalam kalangan lelaki yang prihatin terhadap kesihatan mereka.

Saban tahun ramai lelaki mengambil inisiatif membiarkan kumis dan jambang mereka tumbuh tanpa dipotong sebagai simbolik tersendiri.

Namun, di sebalik gaya ini, terdapat satu mesej yang lebih besar – kesedaran terhadap kesihatan lelaki, merangkumi kesihatan fizikal dan mental.

Kali ini MASKULIN ingin kongsikan tentang sejarah Movember, kepentingannya, serta apakah kesesuaian kempen ini untuk lelaki khususnya di Malaysia.

Dari Idea Sederhana ke Gerakan Dunia

Asal-usul Movember bermula pada tahun 2003 apabila dua orang rakan dari Australia, Travis Garone dan Luke Slattery, berbincang mengenai bagaimana kumis sebagai ikon gaya boleh digunakan untuk tujuan yang lebih bermakna.

Mereka mendapati bahawa kumis adalah simbol lelaki klasik yang sedikit “vintage” tetapi unik.

Idea mereka adalah untuk menggalakkan lelaki menumbuhkan kumis sepanjang November sambil menjana kesedaran tentang isu-isu kesihatan lelaki yang sering diabaikan, seperti kanser prostat dan testis.

Nama “Movember” sendiri merupakan gabungan dari kata “Moustache” (kumis) dan “November.” Mereka mulanya melancarkan kempen ini secara kecil-kecilan dengan penglibatan hanya 30 lelaki, yang dikenali sebagai “Mo Bros.”

Namun, dalam masa beberapa tahun, gerakan ini mendapat momentum global. Pada tahun 2004, Movember Foundation ditubuhkan secara rasmi untuk mengumpul dana dan mendidik masyarakat mengenai kesihatan lelaki.

Kini, lebih daripada 20 negara menyertai kempen Movember, dan berjuta-juta dolar berjaya dikumpulkan bagi menyokong kajian serta program kesedaran kesihatan lelaki.

Signifikansi Movember Kepada Kesihatan Lelaki

Gerakan ‘Movember’ bertindak lebih daripada sekadar kenyataan fesyen atau trend senata. Ia merupakan platform bagi lelaki untuk mula berbicara mengenai kesihatan mereka.

Kesihatan lelaki sering menjadi subjek yang kurang dibincangkan, dan stigma terhadap lelaki yang menghadapi masalah mental atau kesihatan fizikal yang memerlukan perhatian menyebabkan ramai mengambil ringan akan kesihatan mereka.

Foto hiasan

Gerakan ini bertujuan untuk menghapuskan stigma tersebut dan memupuk budaya di mana lelaki berasa bebas untuk bercakap mengenai kesihatan mereka.

Movember juga berjaya menyatukan pelbagai organisasi untuk membina program kesihatan lelaki yang berfokus pada pencegahan kanser, sokongan untuk masalah kesihatan mental, serta program intervensi bagi lelaki yang memerlukan bantuan.

Salah satu aspek penting yang ingin dicapai oleh Movember adalah menurunkan kadar kematian pramatang dalam kalangan lelaki.

Foto hiasan

Statistik menunjukkan bahawa lelaki biasanya hidup lebih pendek berbanding wanita disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk kecenderungan untuk mengabaikan tanda-tanda awal penyakit.

Di sinilah Movember memainkan peranan penting, iaitu sebagai pembuka mata kepada lelaki untuk lebih peka terhadap kesihatan mereka.

Kesesuaian Movember Untuk Lelaki di Malaysia

Di negara kita, Malaysia, kesihatan lelaki turut menjadi isu yang mungkin kurang diberi perhatian sepatutnya. Pelbagai masalah kesihatan lelaki seperti kanser prostat dan masalah mental kurang didiagnosis akibat stigma sosial.

Selain itu, faktor budaya masyarakat Malaysia yang cenderung menganggap isu kesihatan mental sebagai ‘masalah yang tidak perlu dibesar-besarkan’ juga menyumbang kepada rendahnya kesedaran ini dalam kalangan lelaki.

Movember menawarkan ruang bagi lelaki Malaysia untuk turut serta dalam pergerakan global ini, dengan menumbuhkan kumis sebagai simbol sokongan kepada kesihatan lelaki.

BACA: 10 Kasut Larian Trail Terbaik Pilihan MASKULIN

Selain itu, lelaki di Malaysia dapat memanfaatkan kempen ini sebagai peluang untuk menambahkan kesedaran diri terhadap kesihatan, tanpa merasa terasing atau dihukum oleh norma budaya.

Malah, dengan kemudahan media sosial, mereka boleh memanfaatkan platform ini untuk berkongsi pengalaman dan menyokong rakan-rakan yang mungkin memerlukan bantuan dari segi kesihatan fizikal atau mental.

Buat anda yang turut serta menyimpan kumis atau jambang sempena ‘Movember’, selamat maju jaya MASKULIN ucapkan. Sebarkan kesedaran kepentingan kesihatan fizikal dan mental lelaki dengan sebaik mungkin.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply