Biasa berlaku kalangan ibu dan ayah tua yang enggan mendapatkan rawatan untuk penyakit yang dihadapi kerana takut akan pelbagai prosedur yang perlu dijalani. Walhal masalah kesihatan mereka amat serius dan sangat memerlukan rawatan di hospital
Dalam hal ini apakah hukumnya jika seseorang itu menolak rawatan atau enggan menjalani pembedahan. Mufti Wilayah Persekutuan ada memberi penjelasan tentang persoalan ini.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
عن ابي هريرة رضى الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”. Riwayat al-Bukhari (5678)
Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan sabitnya ilmu perubatan dan keharusan mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit, dan ia juga sebagai isyarat bahawa kesakitan dan kesembuhan itu semuanya daripada Allah S.W.T.
Hukum mendapatkan rawatan adalah amat dituntut oleh agama kerana ia selari dengan salah satu daripada maqasid syariah iaitu menjaga nyawa. Ia juga tidaklah menolak konsep tawakkal itu sendiri kerana ianya adalah salah satu ikhtiar untuk mencari kesembuhan melalui jalan yang dibenarkan di sisi syarak.
Walau bagaimanapun, hendaklah seseorang meyakini bahawa ubat dan rawatan itu adalah suatu ikhtiar semata-semata tetapi yang menyembuhkan segala penyakit adalah daripada Allah S.W.T.
Hukum rawatan berbeza ikut keadaan dan situasi pesakit
Namun begitu hukum mendapatkan rawatan adalah berbeza mengikut keadaan dan situasi yang dihadapi oleh setiap individu iaitu seperti berikut:
Wajib – Sekiranya dengan meninggalkan rawatan akan membawa kepada kecacatan anggota tubuh atau kemudaratan kepada diri atau kepada orang lain seperti dalam kes penyakit berjangkit.
Sunat – Sekiranya jika meninggalkannya akan membawa kepada melemahkan tubuh badan namun tidak sampai kepada tahap memudaratkannya. Ia juga sunat sekiranya jika seseorang meninggalkan rawatan ia boleh membawa kepada pengabaian hak-hak manusia seperti seorang bapa yang tidak mampu memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, dan membawa kepada pengabaian hak-hak Allah seperti kurang cergas dalam melaksanakan ibadah seperti solat dan puasa. (Rujuk: Silsilah al-Tafasir, 8/80).
Harus – Sekiranya dengan meninggalkan rawatan tersebut tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang dijelaskan dalam keadaan yang pertama dan kedua.
Makruh – Sekiranya terdapat risiko bahawa rawatan tersebut akan menyebabkan kesan sampingan lain yang lebih teruk daripada penyakit yang ingin dirawat tersebut.
Oleh itu, bentuk rawatan yang sesuai perlu dijalankan ke atas pesakit sekiranya penyakit yang dihadapi olehnya boleh memudaratkan diri lebih-lebih lagi dalam situasi yang mampu menggugat nyawanya. Namun begitu segala risiko ini mestilah dirujuk dan mendapat pengesahan daripada pengamal perubatan terlebih dahulu.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.