Polis minta pemandu lori langgar harimau belang tampil buat laporan

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu, seekor harimau belang mati dengan sebahagian badannya hancur digilis lori.

IPOH – Polis Perak meminta pemandu lori yang dipercayai melanggar mati harimau belang di Kilometer 67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik, Sabtu lalu untuk tampil bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, usaha mengesan pemandu terbabit dijalankan susulan laporan yang dibuat oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Kes sebenarnya disiasat oleh pihak Perhilitan dan kita beri kerjasama untuk menjejaki suspek.

“Tetapi, setakat ini kita tidak dapat mengenal pasti mereka yang terlibat kerana pemandu tersebut tidak membuat sebarang laporan polis,” katanya ketika sidang media di IPK Perak di sini pada Isnin.

Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat

Menurut Zulkafli, pihaknya sedia membantu Perhilitan menjalankan siasatan sekali gus mengesan suspek yang mencuri bahagian haiwan dilindungi itu.

Media melaporkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan empat batang taring, kuku pada kaki, kulit ekor dan sebahagian kulit di kepala harimau berkenaan didapati telah hilang akibat dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Mana-mana individu yang telah mengambil bahagian-bahagian tertentu dari bangkai harimau ini diminta agar menyerahkan segera kepada Perhilitan bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta A1646)

Individu yang didapati memiliki apa-apa bahagian dari Harimau Malaya tanpa kebenaran boleh didenda sehingga RM1 juta dan penjara tidak melebihi 15 tahun.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu, seekor harimau belang mati dengan sebahagian badannya hancur digilis lori.

Dalam rakaman video tular itu menunjukkan seekor harimau terperosok di bawah lori juga beberapa anggota termasuk kepala yang terpisah dan bertaburan di atas jalan raya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply