PEMAIN beregu lelaki utama negara, Aaron Chia teruja apabila beliau dan gandingannya, Soh Wooi Yik mula mendapatkan kembali rentak permainan mereka selepas muncul juara Masters Korea 2024, semalam.
Menurut Aaron, gelaran pertama mereka musim ini tepat pada masanya kerana memberikan mereka momentum berharga menjelang dua kejohanan utama iaitu Masters Kumamoto di Jepun bermula esok hingga 17 November, dan Masters China pada 19 hingga 24 November ini.
“Kami gembira dapat kembali ke gelanggang selepas Wooi Yik pulih daripada kecederaan. Semua nampak baik dan kami akan meneruskannya untuk dua lagi kejohanan terakhir tahun ini,” katanya ketika dihubungi.
Aaron-Wooi Yik menepati ramalan selaku pilihan utama apabila menundukkan gandingan tuan rumah Jin Yong-Kim Won Ho 21-23, 21-19, 21-14 pada aksi final kejohanan Super 300 di Iksan City, Korea Selatan.
Sebelum ini, Woo Yik mengalami keretakan jari kaki kanan pada temasya Sukan Olimpik 2024, Ogos lepas yang menyebabkan pasangan utama negara itu terpaksa berehat selama sebulan.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu kembali semula ke gelanggang untuk beraksi di Terbuka Artik bulan lepas, tewas kepada pasangan England Ben Lane-Sean Vendy 13-21, 8-21 pada pusingan kedua sebelum terkandas di suku akhir Terbuka Denmark.
Kemenangan di Masters Korea 2024 juga menjadi pembakar semangat dalam usaha memburu lapan tempat terbaik bagi mendapatkan slot di Jelajah Dunia Akhir 2024 yang akan diadakan di Hangzhou, China pada 11 hingga 15 Disember depan.
Aaron-Wooi Yik telah beraksi empat kali di Jelajah Dunia Akhir tetapi masih belum memenangi gelaran diidamkan. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.