Tiang & Lantai Retak, DBKL Arahkan Projek Kondominium RUMAWIP, J.Satine Residensi Wilayah Dihentikan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan Projek pembinaan RUMAWIP Kondominium J.Satine Residensi Wilayah, Setapak dihentikan serta merta.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia susulan terdapat keretakan pada struktur shear wall, tiang dan lantai unit di tingkat 8 dan ke atas J Satine hasil siasatan terhadap aduan diterima daripada penduduk berhampiran berkaitan berlakunya letupan di tapak itu pada 7 Nov lepas.

“Satu notis di bawah Seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan (stop work order) oleh DBKL kepada pihak perunding serta mengarahkan supaya tindakan diambil,” menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan Integriti Struktur

DBKL turut mengarahkan pihak perunding supaya melantik jurutera bebas bagi menjalankan pemeriksaan integriti struktur keseluruhan pembangunan J Satine dan mengemukakan laporan hasil daripada pemeriksaan integriti struktur.

Selain itu, pihak perunding juga diarahkan menjalankan kerja-kerja rektifikasi berdasarkan pengesyoran daripada jurutera bebas.

“Tempoh pemberhentian pembinaan projek adalah berdasarkan kepada pelaksanaan perkara diarahkan. Punca letupan dan kegagalan struktur belum ditentukan sehingga laporan integriti struktur dikemukakan kepada DBKL.

“DBKL mengambil perhatian serius terhadap insiden yang berlaku dan orang awam turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan mengeluarkan kenyataan tidak berasas, khususnya melalui saluran media sosial,” menurut kenyataan itu.

Projek RUMAWIP Kondominium J.Satine Residensi Wilayah

Sekadar info, J Satine ini adalah projek Di bawah Residensi Wilayah Persekutuan (RUMAWIP ). Ianya projek yang mengenakan syarat tidak boleh dibeli oleh orang yang telah ada rumah dalam wilayah , Residensi J.

Ia adalah inisiatif kerajaan yang direka untuk menyediakan rumah mampu milik untuk membantu golongan berpendapatan rendah, sederhana, dan pembeli rumah pertama untuk dapat memulakan langkah yang penting dalam proses membeli rumah.

J.Satine Residensi Wilayah memiliki 4 blok, 44 & 35 tingkat (3,600 unit).Harga bermula RM300,000 dan dijangka Siap 2026.

Pemaju bagi projek kondominium ini merupakan Gandingan Jakel Development & Platinum Victory Development Sdn Bhd.

Mesti Baca: Dinding Rumah Retak, Ini Cara Tutup & Baikinya Sendiri
Baca Lagi Di Sini: DIY Periksa ‘Defect’ Rumah Baru & Alatan Yang Diperlukan, Senang Nak Tuntut Dari Pemaju!
Artikel Menarik: DIY Repair Dinding Lembap Cat Mengelupas, Jimat Bajet & Berkesan!

IMPIANA: Risaunya apabila stuktur bangunan tinggi yang masih dalam proses pembinaan retak begini, boleh membahayakan keselamatan. Semoga mendapat penyelesaian sebaiknya buat pemaju dan pembeli rumah RUMAWIP ini.

Sumber: Astro Awani

Follow kami di WEBSITETELEGRAMINSTAGRAMTIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Comments

Leave a Reply