Kes buli UPNM: Apakah solusinya?

Laporan muka depan Sinar Harian berhubung kes buli terbaharu yang berlaku di UPNM.

KES buli yang dilaporkan berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bukanlah satu berita yang boleh diambil mudah dan sememangnya kejadian itu mencuri perhatian ramai serta mendapat kritikan meluas.

Situasi berkenaan seolah-olah menjadi trend di institusi berkenaan selepas beberapa kes dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia sudah melibatkan nyawa dan kecederaan parah.

Lebih menyedihkan, apabila budaya buli ini wujud di beberapa institusi pengajian tinggi di Malaysia, termasuk dalam kalangan institusi pendidikan tinggi yang sepatutnya menjadi tempat selamat dan kondusif untuk pembelajaran.

Keadaan tersebut memerlukan tindakan yang tegas dan menyeluruh daripada semua pihak termasuk saksi kejadian untuk melaporkan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di mana-mana lokasi terutamanya apabila melibatkan pelajar.

Sebelum ini, pada 13 Mei 2017, seorang Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain dilaporkan dipukul kali pertama di Bangunan Jebat, Asrama UPNM kerana disyaki mencuri komputer riba rakannya, bagaimanapun mangsa tidak mengaku.

Susulan daripada itu, mangsa dipanggil pada jam 3 pagi ke bilik 4-10 Bangunan Jebat, Asrama UPNM untuk disoal siasat berkaitan kehilangan komputer pada 20 Mei 2017.

Mangsa menafikan tuduhan dan telah dipukul beramai-ramai oleh 20 hingga 30 orang pelajar menggunakan objek seperti seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju sehingga 11 pagi 21 Mei.

Pada 1 Jun 2017, mangsa meninggal dunia pada jam 9.10 malam di kondominium di Bangi sebelum pengawal keselamatan memaklumkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Serdang dengan ambulans sebelum kematiannya disahkan.

Kejadian terbaharu yang dilaporkan tahun ini adalah pada 2 November lepas, apabila polis mengesahkan seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM ditekap seterika pada bahagian dada ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama pada 22 Oktober lalu.

Kejadian buli boleh merosakkan imej dan reputasi institusi pengajian tinggi, terutamanya apabila ia melibatkan pasukan keselamatan atau pihak berkuasa dalam universiti.

Sehingga kini, seramai 16 individu telah direkod percakapan termasuk pengadu, suspek, pegawai kadet yang lain, staff, jurulatih dan pegawai perubatan

Semalam, pada Ahad, seorang lagi penuntut tahun satu UPNM dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dipijak seorang penuntut tahun tiga, universiti berkenaan. Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.45 malam 21 Oktober lalu.

Kesemua kejadian ini melibatkan institusi dan kes yang sama di mana ia tidak sepatutnya berlaku selepas peristiwa menyayat hati yang menimpa Allahyarham Zulfarhan pada 2017.

Kejadian buli boleh merosakkan imej dan reputasi institusi pengajian tinggi, terutamanya apabila ia melibatkan pasukan keselamatan atau pihak berkuasa dalam universiti.

Hal ini boleh menjejaskan keyakinan masyarakat dan bakal pelajar terhadap keselamatan dan kebajikan yang ditawarkan oleh institusi berkenaan.

Bagi menangani masalah ini, semua universiti perlu memastikan bahawa terdapat saluran yang selamat dan mudah diakses bagi pelajar untuk melaporkan sebarang kejadian buli tanpa rasa takut akan pembalasan atau stigma.

Selain itu, universiti perlu menjamin bahawa setiap aduan akan disiasat dengan adil dan telus serta tindakan tegas terhadap pelaku buli, termasuk penggantungan pengajian atau pemecatan jika terbukti bersalah.

Kes buli yang berlaku di UPNM adalah satu pengajaran penting bagi semua institusi pendidikan di Malaysia kerana universiti sepatutnya berperanan sebagai tempat yang menyokong pembangunan intelektual dan emosional pelajar, bukan hanya tempat pembelajaran.

Oleh itu, masalah buli perlu ditangani dengan serius dan mengambil langkah pencegahan berkesan yang melibatkan pendidikan, sokongan kepada mangsa, tindakan tegas terhadap pelaku dan usaha untuk mencipta persekitaran yang lebih harmoni serta positif bagi semua pelajar.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply