Anwar lakukan kunjungan hormat ke atas Presiden El-Sisi

Anwar (kiri) mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi yang disusuli mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin itu di Istana Al-Ittihadiya, pada Ahad. Foto Bernama

KAHERAH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Istana Al-Ittihadiya, sempena lawatan rasminya ke Mesir.

Anwar dalam satu kenyataan di sini pada Ahad berkata, dalam pertemuannya bersama El-Sisi, mereka menyentuh pelbagai perkara dalam usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.

“Hubungan ini meliputi soal kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu.

“Perbincangan kami turut menyentuh soal BRICS, yang Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas mesyuarat dua hala kedua-kedua pemimpin.

Anwar berkata, dalam pertemuan itu juga, beliau dan El- Sisi turut membincangkan situasi di Palestin dan Malaysia menyanjung usaha Mesir bersama Qatar dan Amerika Syarikat, yang bertindak selaku perantara dalam menoktahkan penindasan oleh rejim zionis Israel.

Anwar bersalaman dengan delegasi Mesir pada lawatan rasmi empat hari ke Mesir di Istana Al-Ittihadiya, pada Ahad. Foto Bernama

Beliau berkata, turut dibincangkan ialah mengenai situasi kian meruncing di Lubnan, yang berkemungkinan boleh mengakibatkan konflik lebih meluas di Asia Barat.

“Kami bersetuju bahawa kedua-dua negara mesti memainkan peranan yang lebih proaktif dan tegas dalam memastikan keganasan dihentikan dan nyawa diselamatkan serta keadilan sejagat mesti ditegakkan.

“Mendoakan semoga hubungan Malaysia dan Republik Rakyat Mesir mesti terus mekar dan diperkuat demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” kata beliau. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply