Emas Anuar STL Champions Cup: KL Thunder enggan bersikap sambil lewa

Kejayaan mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam Emas Anuar Grand Prix (GP) Sepaktakraw League (STL) Premier 2024 bukanlah tiket buat Kuala Lumpur (KL) Thunder mendongak ke langit dan mengambil mudah saingan Champions Cup.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Sumali Reduan, menegaskan supaya pemainnya tidak meletakkan diri dalam keadaan selesa kerana mengambil kira cabaran yang akan dihadapi lebih besar kali ini.

Berdepan barisan pasukan bertaraf antarabangsa daripada Thailand, Indonesia dan Singapura jelas menjanjikan pertembungan yang lebih rancak dan mendebarkan buat peminat sukan sepak takraw.

Sebagai langkah memperkuatkan pertahanan, KL Thunder kekal dengan watak utama yang dibarisi pemain kebangsaan termasuk Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir.

“Adakalanya Syahir Rosdi pun beraksi di bawah paras sebenar. Tapi kalau menjadi dia boleh membanggakan kami. 

“Untuk mendapatkan momentum konsisten, itu yang perlu ditingkatkan sebab kalau dia konsisten dengan servis dan bola pertama, dia memang di tahap terbaiknya. 

“Thailand pun gerun dengannya. Sebab itu apabila berlawan dengan KL Thunder, semangat pasukan lawan menurun. 

“Apabila pemain sudah mencapai satu tahap berlainan, itulah yang akan terjadi. 

“Saya harap pemain-pemain kebangsaan mampu mencapai tahap sepertinya; mampu beraksi di tahap macam mana sekalipun, lebih-lebih di peringkat antarabangsa,” katanya di Nadi Arena sebentar tadi. 


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply