Filipina keluar arahan berpindah, Taufan Toraji semakin dekat

Seorang lelaki mengutip barangan yang hanyut di celah serpihan kayu selepas TaufanTrami melanda bandar Laurel town, wilayah Batangas. Foto AFP

MANILA – Penduduk di 2,500 kampung diarahkan berpindah segera ketika Taufan Toraji menghampiri wilayah utara Filipina.

Menurut angka kerajaan yang diberikan kepada AFP, sekurang-kurangnya 700,000 orang masih berteduh di pusat pemindahan atau bersama saudara-mara selepas rumah mereka musnah akibat Taufan Trami, Kong-rey dan Yinxing.

Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, Jonvic Remulla berkata, ketiga-tiga taufan sebelum ini telah meragut 159 nyawa sementara Toraji dijangka mendarat pada Isnin akan menyebabkan penduduk yang tinggal di 2,500 kampung di seluruh wilayah utara Ilocos, Lembah Cagayan dan Cordillera telah diarah berpindah.

“Tanah di kawasan itu kini berisiko untuk runtuh sangat tinggi.

“Kami tidak mampu menanganinya kecuali mengarahkan perpindahan penduduk dengan kadar segera,” kata Remulla dalam taklimat pada Ahad.

Agensi cuaca negeri itu berkata, Toraji yang membawa kelajuan angin maksimum 110 kilometer sejam, dijangka menyebabkan hujan lebat dan angin kencang apabila ia mendarat di wilayah utara Aurora atau Isabela.

Tentera dan polis juga telah menempatkan sekurang-kurangnya 14 pesawat bagi menjalani operasi menyelamat dan mengangkut makanan di kawasan yang terpencil.

Remulla menambah, jadual perjalanan kapal laut telah digantung manakala arahan supaya air empangan dikeluarkan lebih awal untuk mengelakkan bencana banjir.

Pada Khamis lalu, Taufan Yinxing melanda pantai utara negara itu dan menyebabkan seorang gadis berusia 12 tahun maut serta merosakkan rumah dan bangunan.

Agensi bencana dalam laporan Ahad melaporkan bahawa kira-kira 51,000 orang di wilayah Cagayan di utara Manila kehilangan tempat tinggal manakala sekurang-kurangnya tujuh bandar masih terputus bekalan elektrik.

Beberapa minggu sebelum itu, Ribut Tropika Teruk Trami dan Taufan Super Kong-rey bersama-sama menyebabkan 158 orang terkorban.

Kira-kira 20 ribut dan taufan besar melanda negara kepulauan atau perairan sekitar Filipina setiap tahun. – AFP


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply