3,950 pegawai perubatan, pergigian, farmasi terima lantikan tetap – KKM

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,200 pegawai perubatan, 350 pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi yang memohon lantikan kontrak (interim) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dilantik secara tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 21 Oktober lepas.

“Semoga dengan pelantikan tetap ini, semua calon akan terus komited dan memberikan perkhidmatan lebih cemerlang demi kesejahteraan masyarakat Malaysia Madani,” menurut KKM dalam kenyataan pada Sabtu.

KKM memaklumkan sekiranya terdapat calon yang berhasrat untuk membuat rayuan pertukaran penempatan, ia boleh dibuat menerusi Google Form yang disediakan dalam sistem e-Placement dari 5 hingga 11 November ini untuk pegawai perubatan manakala dari 5 hingga 15 November untuk pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Menurut kenyataan itu, hanya rayuan yang dikemukakan menerusi Google Form dalam tempoh yang ditetapkan sahaja akan dibawa untuk pertimbangan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan.

Keputusan rayuan akan dimaklumkan kepada calon menerusi portal Semakan Kerjaya KKM pada 2 Disember ini.

Menurut KKM, antara aspek rayuan yang akan dipertimbangkan ialah calon yang sedang mengikuti pengajian kepakaran yang diluluskan KKM; calon, pasangan atau anak menghidap masalah kesihatan serius (disokong laporan perubatan); dan permohonan suka sama suka yang dikemukakan oleh mana-mana calon.

Urusan penempatan calon ke fasiliti akan dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri mulai 23 Disember ini.

Menurut kenyataan itu, tarikh pelantikan tetap calon adalah mengikut tarikh kuat kuasa melapor diri bertugas iaitu 30 Disember 2024 atau tarikh baharu yang diluluskan oleh ketua jabatan sekiranya memohon penangguhan lapor diri bertugas. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply