Nikon Z50 II Dilancarkan Dengan Sensor 20.9MP Dengan Ciri Picture Control

Kamera nircermin Nikon Z50 II telah dilancarkan dengan sensor 20.9MP APSC yang dipadankan dengan cip pemprosesan imej EXPEED 7. Dari segi sensor, ia adalah sensor yang sama seperti Nikon Z50 asal yang dilancarkan pada tahun 2019. Sensor menyokong julat ISO antara 100 hingga 51,200.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah kemampuan pratangkapan yang menyimpan imej sehingga satu saat sebelum butang pengatup kamera ditekan. Dengan ini tidak akan berlalu insiden terlepas imej yang ingin ditangkap. Kamera boleh mengambil sehingga 30 bingkai sesaat dalam mod pengatup digital dan sehingga 11 bingkai sesaat menggunakan pengatup mekanikal. Selain itu kemampuan video juga telah ditambah baik sehingga 4K 60p serta N-Log 10-bit.

Butang Picture Control yang disertakan apabila ditekan akan mengenakan kesan khas sehingga 31 pratetapan dilihat terus menerusi viewfinder. Dengan ini pemilik boleh melihat sendiri perubahan pada tona warna secara nyata sebelum digunakan pada gambar dan video yang ingin diambil. Terdapat juga ciri Imaging Recipes yang membolehkan tetapan kamera dimuat turun. Dengan kata lain kesan khas yang wujud pada kamera telefon pintar tiba pada kamera digital Nikon.

Kamera kini dilengkapi juga dengan skrin LCD 3.5″ yang boleh ditarik ke pelbagai arah yang dipadankan dengan EVF 2,360 titik dengan keterangan 1,000 nit. Pada model asal ia hanya boleh dipusing ke bawah. Selain itu pengecasan kini menerusi USB-C dengan PD, terdapat port HDMI mini, bicu audio, flash pop naik dan penggunaan memori UHS-II

Nikon Z50 II akan mula dijual pada penghujung bulan ini pada harga $909.95 (~RM3988) untuk tubuh sahaja, $1049.95 (~RM4601) dengan lensa Nikkor Z 16-50mm f/3.5-5.6 VR atau $1299.95 (~RM5697) dengan dua lensa kit 16-50mm serta 50-250mm f/4.5-6.3 VR.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply