TSMC Dilaporkan Menggantung Pengeluaran Cip AI Untuk Syarikat China

TSMC dilaporkan telah menggantung pengeluaran cip AI dengan teknologi 7nm dan lebih kecil yang dipesan oleh syarikat yang berpangkalan di China. Tindakan diambil selepas cip yang dikeluarkan untuk sebuah syarikat China ditemukan pada cip AI Huawei Ascend yang telah dikenakan sekatan mengakses faundri TSMC sejak empat tahun yang lalu.

Notis diberikan oleh TSMC kepada pelanggan di China pada Isnin lalu. Pengeluaran masih lagi akan dilakukan tetapi tertakluk kepada proses kelulusan yang mungkin melibatkan Amerika Syarikat terlebih dahulu. Halangan jualan cip AI terkini keluaran AMD dan NVIDIA telahpun dikenakan oleh Amerika kepada China sejak dua tahun lalu. China cuba membangunkan cip AI sendiri tetapi usaha mereka mengalami pelbagai halangan disebabkan oleh halangan teknologi.

Antara usaha yang dilakukan China ialah melakukan pelaburan tinggi untuk memacu industri semikonduktor tempatan. Muncul laporan Huawei sanggup membayar gaji tiga kali ganda kepada kakitangan TSMC yang berpindah ke syarikat mereka.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply